UMNO, Pas masih bincangkan nama gabungan - Zahid

Bernama
Julai 20, 2019 21:00 MYT
ZAHID: Kita harus bawa ke peringkat yang tertentu untuk kita muktamadkan (nama gabungan). - Gambar fail/BERNAMA
Nama khusus bagi gabungan UMNO dan PAS masih di peringkat perbincangan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat dan akan diumumkan secara rasmi apabila tiba masanya.
"Kita harus bawa ke peringkat yang tertentu untuk kita muktamadkan (nama gabungan). Biar ada majlis secara rasmi untuk umumkannya," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10 di sini, pada Sabtu.
Jumaat lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, satu nama baharu yang merujuk kepada penyatuan PAS dan UMNO bakal mewarnai persada politik negara tidak lama lagi.
Ditanya mengenai agihan kerusia antara kedua-dua parti, Ahmad Zahid berkata, ia masih terlalu awal untuk dibincangkan sehinggalah piagam antara kedua-dua parti ditandangani.
"Terlalu awal (untuk bincang soal kerusi) kerana di peringkat 'taawun siyasi' (bertolong-tolong dalam perkara politik), ia adalah merupakan satu kerjasama dan ia telah dipahat dalam piagam yang akan kita tandatangani bersama," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #gabungan UMNO Pas #Presiden UMNO #Tuan Ibrahim Tuan Man #UMNO