PARIT BUNTAR: UMNO Perak bersedia menerima kerjasama daripada mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Datuk Saarani Mohamad menegaskan bahawa kerjasama tersebut hanya terbuka kepada pihak yang ikhlas dan jujur.

“Pendirian saya adalah alam politik kena ramai kawan, kurang musuh.

“Tetapi bila ramai kawan ni maknanya, kena kawan yang setia, ikhlas dan jujur, baru boleh. Siapa yang jujur boleh kawan dengan saya. Tak ikhlas saya tak mahu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita bahawa Pakatan Harapan (PH) membayangkan bersedia bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Majlis Presiden PH telah memutuskan perkara itu selain beberapa perkara berbangkit yang lain termasuk kerjasama jentera pilihan raya.

Kenyataan itu dibuat susulan pendirian UMNO pada minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (bersatu) pada PRU15 nanti.

Saarani bagaimanapun tidak mengulas lanjut siapa 'kawan dan lawan' yang dimaksudkan.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak terdahulu ditemui pemberita pada program ‘Executive Talk’ bersama warga pendidik di Kerian sempena program MB Perak bersama rakyat di Dewan Kerian Permai, di sini pada Selasa.