POLITIK

UMNO perlu gerak sebagai satu pasukan - Johari

Bernama 27/07/2025 | 10:00 MYT
Johari menyeru UMNO agar mengambil kira pandangan golongan muda yang membentuk 40 peratus pengundi. - Gambar fail
SHAH ALAM: Ahli UMNO dinasihatkan untuk terus berkerja sebagai satu pasukan yang bebas daripada percanggahan dalaman, sebagai persediaan berhadapan pilihan raya akan datang.


Ringkasan AI
  • UMNO disaran berjuang secara berpasukan: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menekankan pentingnya jentera parti yang mantap dan bebas daripada percanggahan dalaman bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
  • Fahami pemikiran pengundi muda: Johari menyeru UMNO agar mengambil kira pandangan golongan muda yang membentuk 40% pengundi, kerana mereka mempunyai pemikiran berbeza dan perlu diwakili secara relevan.
  • Usul undi tidak percaya adalah hak Parlimen Beliau menyatakan bahawa mana-mana Ahli Parlimen berhak membawa usul undi tidak percaya, dan keputusan akhir bergantung kepada sokongan dalam Dewan Rakyat.


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pembentukan jentera sebagai sebuah pasukan yang mantap, boleh menjadi penentu kepada kejayaan pilihan raya.

"Dalam bola sepak, apabila kita berlawan dia bukan boleh ada penyerang sahaja. Letak satu striker yang lain tidak perform. Susahlah. Jadi kita kena (berlawan) secara berpasukan.

"Kalau pasukan itu betul, mantap tidak ada percanggahan khususnya untuk berdepan dalam pilihan raya insya-Allah, 50 peratus kita sudah boleh menang. Yang lain bergantung isu berbangkit dalam kerajaan dan negara," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut menasihatkan ahli UMNO untuk mengambil kira pandangan, khususnya golongan muda yang membentuk 40 peratus daripada jumlah pengundi seluruh negara.

"Mereka mempunyai pemikiran yang sangat berbeza dengan nenek moyang kita. Perkara ini berlaku di seluruh dunia apabila audiens kita di umur 18 tahun secara automatik boleh jadi pengundi.

"Kalau kita sebagai parti tidak boleh faham pemikiran anak-anak muda, macam mana nak mengolah dan sentiasa melahirkan pemimpin muda yang memahami, masalah kita nanti sangat besar," katanya.

Mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam, yang mendakwa pembangkang kini sedang mempertimbangkan untuk menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Johari berkata setiap Ahli Parlimen berhak berbuat demikian.

"Dalam Parlimen ini, siapa-siapa ahli Parlimen boleh bawa usul itu (usul undi tidak percaya). Tidak ada sesiapa boleh melarang.

"Jadi usul berkenaan dibawa ke dalam Parlimen...selepas itu kita tengoklah siapa yang mendapat sokongan dan siapa yang tidak. Parlimen yang menentukan," kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

-- BERNAMA




#UMNO #JOHARI ABDUL GHANI #satu pasukan #pilihan raya