POLITIK

UMNO Puchong putus kerjasama dengan PH di peringkat Parlimen dan DUN

Astro Awani 27/12/2025 | 04:10 MYT
UMNO Puchong memutuskan sedemikian selepas Yeo Bee Yin gagal memohon maaf dalam tempoh 24 jam yang tamat pada 24 Disember, jam 4 petang. Gambar fail.
KUALA LUMPUR: UMNO Puchong memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memohon maaf berkenaan hantaran berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha UMNO Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas Bee Yin gagal memohon maaf dalam tempoh 24 jam yang tamat pada 24 Disember, jam 4 petang.

“Maka dengan ini UMNO Bahagian Puchong secara rasmi dan muktamad memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Melalui keputusan tersebut, Yusof menegaskan, tiada lagi mesyuarat bersama, penganjuran aktiviti politik, program masyarakat dan kempen bersama dalam apa jua keadaan.

“Keputusan ini terhad di peringkat Parlimen Puchong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang dan Seri Kembangan," jelas beliau.

Bagaimanapun, Yusof menjelaskan keputusan tersebut tidak melibatkan peringkat Negeri atau Pusat.

“Keputusan ini tidak bermaksud UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Bee Yin sebelum ini telah berkongsi pautan laporan berita mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh Najib untuk menjalani tahanan rumah susulan dakwaan wujudnya Titah Adendum.

Dalam perkongsian tersebut, Bee Yin menyatakan “Another reason to celebrate this year end” (satu lagi alasan untuk meraikan tahun baharu kali ini).

Kenyataan beliau itu mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan pemimpin UMNO yang disifatkan biadab dan tidak sensitif dengan berita buruk untuk mereka.

Pada 24 Disember lalu, sekumpulan pemuda UMNO telah menghantar memorandum kepada pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Puchong sebagai tanda bantahan terhadap kenyataan Bee Yin.


#Kerajaan Perpaduan #UMNO #Puchong #Pakatan Harapan