UMNO Sabah ada autonomi tentukan calon PRN - Annuar Musa

Bernama
Julai 31, 2020 05:33 MYT
Di peringkat BN, kata Annuar, pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO dan beberapa ahli jawatankuasa pilihan raya parti akan bermesyuarat Ahad ini. - Astro AWANI
UMNO Sabah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam membuat persiapan dan menentukan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata sejurus selepas pengumuman dan pengesahan rasmi Istana Negeri Sabah berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri semalam, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membuat persiapan awal serta-merta.
Di peringkat BN, kata beliau, pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO dan beberapa ahli jawatankuasa pilihan raya parti akan bermesyuarat Ahad ini.
"Itu (calon PRN) akan diputuskan UMNO dan mengikut kita punya kaedah, ia akan ditentukan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.
"Tetapi oleh kerana ini merupakan PRN yang melibatkan semua kawasan DUN, UMNO Sabah juga perlu berbincang dengan rakan komponen BN, Muafakat Nasional (MN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga parti mesra BN," katanya yang juga setiausaha agung BN.
Terdahulu, Annuar menyertai solat Sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala, Damansara, di sini, hari ini
Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan PRN yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Situasi politik di Sabah yang panas sejak kebelakangan ini memuncak apabila bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
-- BERNAMA
#Aidiladha #Annuar Musa #Barisan Nasional #calon #Ibadah Korban #Ketua Menteri #majlis tertinggi #Malaysia #menteri #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #pilihan raya #politik #PPBM #presiden #Shafie Apdal #Tan Sri Annuar Musa #UMNO #Zahid Hamidi