UMNO Selangor nafi terlibat dalam gerakan Baju Merah

Nuradilla Noorazam
Oktober 10, 2016 11:58 MYT
NOH: UMNO Selangor tidak terlibat dengan kumpulan 'Baju Merah' yang telah menimbulkan kontroversi baru-baru ini. -Gambar fail
UMNO Selangor tidak terlibat dengan kumpulan 'Baju Merah' yang telah menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata perhimpunan tersebut dianjurkan oleh gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Noh juga menjelaskan UMNO Selangor menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan isu tindakan ganas yang dilakukan oleh kumpulan Baju Merah itu.
Beliau yang ditemui media sewaktu lawatan kerja di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang Satu pada Isnin berkata perhimpunan yang diketuai ketua UMNO bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunus itu haruslah mematuhi undang-undang negara.
"Ini urusan polis. Saya tak mahu komen hal ini. Sudah menjadi tugas polis untuk menegakkan keadilan. Mereka tahu jalankan tugas mereka dan yang penting kita kena patuhi undang-undang dan polis," kata Noh.
Beliau juga menyoal petugas media yang bertanya mengenai reaksi beliau kepada kenyataan Jamal yang mengundang kontroversi apabila mengugut perhimpunan Bersih 5.0 akan menjadi seperti peristiwa hitam Mei 13.
"Buat apa tanya pasal Datuk Jamal tak tanya pasal baju kuning?
"Saya tidak mahu ulas lanjut berkaitan perhimpunan itu kerana ia digerakkan NGO, kalau anjuran UMNO Selangor saya boleh jawab. Jadi tak ada kena mengena untuk saya jawab isu ini," katanya.
Ahad lalu, Jamal dikatakan membuat kenyataan mengugut penyokong himpunan Bersih 5.0 dengan keganasan apabila menyamakan perhimpunan tersebut dengan peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang meragut 196 nyawa.
#Baju kuning #Bersih 5 #Noh Omar #Perhimpunan Baju Merah #UMNO Selangor