Skip to main content

Politik

UMNO tiada niat jadi pembangkang di Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Perhimpunan Kami Gen MARA
Ahmad Zahid berkata, pandangan yang disuarakan segelintir ADUN UMNO berkaitan isu itu adalah bersifat peribadi. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah membuat keputusan untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO sebaliknya kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu dan pandangan yang disuarakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO hanyalah bersifat peribadi.

Advertisement

Ahmad Zahid menjelaskan, kepimpinan UMNO Pusat telah menetapkan semua ADUN parti itu di Negeri Sembilan terus bersama Kerajaan Perpaduan.

“Kita tak ada niat jadi pembangkang. Itu (kenyataan yang dibuat) hanya sebuah kenyataan (peribadi) saja.

“Tetapi UMNO di peringkat pusat sudah memutuskan yang ADUN di Negeri Sembilan tetap menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Kami Gen MARA, pada Selasa.

Sabtu lalu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UMNO lebih rela menjadi pembangkang daripada bersama Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mahu terpalit dengan isu terkait krisis adat dan perlembagaan yang membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas kemungkinan pencalonan ADUN UMNO sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, beliau berkata perkara itu belum dibincangkan setakat ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH dan UMNO berhubung mesyuarat perundingan yang dijadual berlangsung malam ini.

Menyentuh kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), beliau berkata semua parti kini dalam keadaan bersedia, namun masih terlalu awal untuk menentukan bentuk kerjasama atau gabungan yang akan diputuskan.

Must Watch Video