UPKO parti komponen terbaharu Pakatan Harapan

Astro Awani
Ogos 26, 2021 11:21 MYT
Menurut kenyataan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution, keputusan untuk menerima permohonan UPKO dibuat dalam Mesyuarat Majlis Presiden hari ini.
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diterima sebagai parti komponen terbaharu Pakatan Harapan (PH) sebahagian daripada semangat ‘khemah besar’ pakatan tersebut.
Menurut kenyataan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution, keputusan untuk menerima permohonan UPKO dibuat dalam Mesyuarat Majlis Presiden hari ini.
“Pada waktu ini, sukacita untuk saya umumkan bahawa UPKO telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai PH.
“Mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen PH,” kata Saifuddin dalam kenyataan itu.
“PH percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15.”
Sumber Facebook pakatanharapan.my
Tambahnya, PH akan meneruskan kerjasama dengan Warisan, Pejuang, UPKO, Parti Warisan Bersatu, Muda serta blok bebas dalam semangat ‘khemah besar’ seperti yang dinyatakan dalam Ketetapan Port Dickson.
"Pintu PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti Pembangkang yang lain, malah kami juga mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai PH," katanya lagi.
Sehubungan itu, Saifuddin memaklumkan bahawa satu pertemuan akan diadakan antara ketua-ketua parti pembangkang dalam masa terdekat.
“Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti Pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti.”
UPKO ketika ini diketuai Presiden Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tuaran.
#Pakatan Harapan #PH #UPKO #Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu #Khemah Besar #Saifuddin Nasution #Wilfred Madius Tangau