KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang mendedahkan beliau pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, beliau kesal kerana usaha berkenaan menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan sekali gus tidak dapat membela kawasan yang diwakili.

"Sepanjang setahun Perikatan Nasional (PN) berusaha untuk mengulingkan kerajaan dengan memujuk ahli-ahli parlimen lain termasuk Sabah dan Sarawak untuk tukar Kerajaan.

"Setelah setahun berlalu sehingga pada akhir bulan November, saya sekali lagi berjumpa dengan Larut (Hamzah) menyatakan tidak puas hati kerana usaha menjatuhkan kerajaan ini menyebabkan ahli-ahli parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan dan tidak dapat membela kawasan yang mereka wakili," katanya dalam satu sidang media di Puchong, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, tiada guna menjadi Ahli Parlimen yang hanya mementingkan parti tetapi tidak mementingkan pengundi yang telah memilih.

Jelasnya, dalam setiap pilihan raya tidak semua pengundi yang memilih parti kerana terdapat juga yang mengundi kerana ketokohan, kebaikan dan khidmat yang diberikan Ahli Parlimen berkenaan.

"Sepanjang setahun usaha untuk gulingkan kerajaan dan meraih sokongan daripada parti-parti lain tidak berjaya, malah dua daripada Ahli Aarlimen pembangkang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

"Jadi saya ambil keputusan bahawa tidak ada lagi pilihan untuk membangunkan negara dan supaya rakyat dapat bersatu, apa perlu kita berpolitik hanya mengata dan tohmahan dalam Parlimen tanpa ada solusi yang baik?

"Jadi pada 28 November, saya umum secara terbuka sokong Perdana Menteri dan saya nampak keikhlasan Anwar untuk membangunkan negara," jelasnya.

Selain itu, Syed Abu Hussin Hafiz turut meminta kepimpinan Pas untuk meluaskan ruang perbincangan bersama Kerajaan Perpaduan demi memajukan rakyat dan menyelesaikan masalah di dalam negara.

"Saya berharap dan meminta Pas dengan hati yang lapang dan ruang yang terbuka atas dasar agama untuk berbincang bagi mewakili PN.

"Sebab mungkin ada masalah peribadi yang kita tidak tahu antara BERSATU dan UMNO serta Perdana Menteri, tetapi demi negara pagi ini saya menyeru supaya Pas dengan kelebihan yang ada dengan menonjolkan tokoh baharu Perdana Menteri untuk tunjukkan kepada rakyat penyelesaian yang mereka nak lakukan," katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz turut mendedahkan beliau pernah beberapa kali menyuarakan cadangan supaya PN menyatakan sokongan kepada Anwar di Parlimen, namun cadangan itu ditolak sekali gus menyebabkan beliau kecewa.