KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengambil sikap berkecuali dalam membuat sebarang ketatapan berkait usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.

Menerusi satu kenyataan media, Azhar berkata usul tersebut mempunyai hal-hal yang bersangkutan dan mengenai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Sebagaimana yang diketahui umum, Tan Sri Idrus Harun ialah abang kandung saya.

“Oleh kerana itu, saya telah membuat keputusan untuk mengecualikan diri saya daripada membuat apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang bagaimana jua pun berkaitan dengan usul tersebut,” katanya.

Justeru, beliau memaklumkan, apa-apa keputusan mengenai, berkenaan ataupun yang berkaitan dengan usul tersebut diserahkan kepada Timbalan-timbalan Yang di-Pertua mengikut kedudukan kekananan iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya tidak akan campur tangan di dalam apa cara sekalipun di dalam pelaksanaan tugas Timbalan-timbalan Yang di-Pertua di dalam hal berkaitan,” ujarnya.

Menerusi usul tersebut, Kulasegaran meminta supaya tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Menurut surat yang dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 29 Julai itu, Kulasegaran berkata, kenyataan tersebut merujuk kepada ucapan Takiyuddin di Parlimen pada 26, 27 dan 28 Julai yang turut dianggap menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan itu kata Kulasegaran dibuat mengikut Peraturan Tetap 26 (1) (p) dan 36 (12).