LUMUT: Semua pihak diminta untuk tidak melayani sindiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ke atas seorang menteri yang menunggang seekor lembu dalam satu video tular baru-baru ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata perkara berkenaan tidak seharusnya dipolemikkan kerana ia adalah usaha seorang menteri untuk mendekati rakyat.

“Jadi menteri ini kadang-kadang kita kena ‘merakyat’, jadi apa benda yang tidak sepadannya? Daripada duduk di pejabat, membuat polisi, membuat dasar, menyelesaikan tugas  dalam pejabat dan sambil itu kita turun padang.

“Kadang-kadang petani, orang kampung nak tengok kita jadi macam orang kampung, jadi tak salah pun (menunggang lembu).

“Lagipun dia (Muhammad Sanusi) pun ada buat lebih daripada itu lagi. Jadi tak perlulah kita nak layanlah benda-benda (sindiran) macam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melakukan lawatan kerja dan pemantauan di sebuah kilang pembungkusan minyak masak di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, media melaporkan Muhammad Sanusi menyindir seorang menteri yang dipercayai merujuk video tular individu sama yang dirakam menunggang seekor lembu, baru-baru ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional turut mengaitkan tindakan menteri berkenaan dengan prestasi yang didakwanya sangat mendukacitakan.

Beliau juga dilaporkan berkata itu sepatutnya tida perlu kerana didakwa hanya mengundang dijadikan bahan jenaka rakyat. 

Baru-baru ini tular media sosial video berdurasi 16 saat memaparkan seorang menteri menunggang seekor lembu yang dipercayai gimik perasmian dalam satu program.