SEPANG: Jentera Wanita Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa sahaja, kata Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @ Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini ,hari ini, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, kesediaan jentera sentiasa berada pada tahap memuaskan susulan khabar angin mengenai PRU15.

"Wanita PN sudah pun bersedia. Jentera kami turun sebagai satu nama PN. Paling lewat pun PRU Julai tahun depan.

"Maksudnya bukan hanya Srikandi Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Dewan Muslimat PAS atau Wanita Gerakan, tetapi kita turun dengan membawa (nama) Wanita Perikatan Nasional," katanya.

Rina berkata, Wanita PN sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka serta menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik.

"PN pun baru dua tahun penubuhannya. Janji kita bantu rakyat. Dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan Insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa," katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, PN sudah bersedia sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat dan yakin dengan kerjasama semua parti komponen dalam gabungan itu. - BERNAMA