Parti Warisan Sabah (Warisan) memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan empat kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr, berkata empat kerusi Parlimen tersebut adalah Kimanis, Sipitang, Keningau dan Libaran manakala kerusi DUN yang terlibat adalah Sungai Sibuga, Kundasang, Sook dan Kiulu.

Beliau berkata, antara bukti yang telah mereka perolehi di kawasan berkenaan adalah menawarkan wang untuk mendapatkan undi, pertambahan kotak undi pos dan juga isu Borang 14.

"Hari ini merupakan hari terkahir untuk memfailkan petisyen. Bagi pihak Warisan, kami telah failkan failkan lapan petisyen melibatkan empat kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN," katanya kepada media di perkarangan mahkamah.

Loretto berkata, seramai lapan pasukan peguam, di mana setiap pasukan dianggotai dua hingga tiga orang peguam, akan terlibat dalam kes berkenaan.

Beliau juga yakin Warisan akan memenangi kes itu berdasarkan bukti yang mereka perolehi.