Warisan lantik Bendahari Agung, Ketua Penerangan baharu

Bernama
Oktober 13, 2022 15:27 MYT
Parti Warisan mengumumkan pelantikan Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (kiri) sebagai Bendahari Agung, manakala Datuk Mohd Azis Jamman selaku Ketua Penerangan parti berkenaan. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Parti Warisan mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari sebagai Bendahari Agung, manakala Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman selaku Ketua Penerangan parti berkenaan.
Setiausaha Agungnya Datuk Loretto Padua Jr dalam kenyataan malam ini berkata sebelum ini Awang Ahmad merupakan Ketua Penerangan manakala Azis pula Ketua Wira Warisan.
"Azis memutuskan tidak bertanding pada pemilihan parti Ogos lepas bagi memberi ruang kepada muka baharu untuk menerajui Wira Warisan.
"Langkah itu diambil untuk meremajakan parti agar pelapis dalam kalangan orang muda dapat dilahirkan melalui Warisan," menurut kenyataan itu.
Bendahari Agung Warisan sebelum ini Terrence Siambun menang tanpa bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu.
-- BERNAMA
#Parti Warisan #Awang Ahmad Sah Sahari #Mohd Azis Jamman #pelantikan