Warisan teruskan perjuangan VK Liew bantu rakyat di Batu Sapi - Shafie Apdal

Bernama
Oktober 4, 2020 11:25 MYT
Mohd Shafie berkata masyarakat Batu Sapi juga diharap memberi sokongan padu dalam memastikan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk rakyat oleh mendiang dapat diteruskan oleh parti itu. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Warisan bertekad meneruskan pejuangan mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong, yang juga Pengerusi Tetap parti itu, dalam membela nasib rakyat di kawasan tersebut, kata Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Mohd Shafie, juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata masyarakat Batu Sapi juga diharap memberi sokongan padu dalam memastikan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk rakyat oleh mendiang dapat diteruskan oleh parti itu.
"Kita ucapkan takziah kepada Datin Lindai (isteri mendiang Datin Dr Lindai Lee) dan keluarga atas pemergian pejuang kita... kita kehilangan seorang tokoh yang berjasa bukan sahaja kepada rakyat Sabah tetapi juga negara Malaysia.
"Saya berharap semua masyarakat Batu Sapi berpadu tenaga berusaha pastikan supaya apa yang diusahakan mendiang akan dapat kita teruskan. Kuatkan perpaduan dan bela rakyat bersama seperti yang diharapkan mendiang," menurutnya dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Terdahulu, beliau memberikan penghormatan terakhir kepada Liew di rumah keluarga mendiang di Likas di sini.
BACA: Ahli Parlimen Batu Sapi, V K Liew meninggal dunia
Jumaat lepas, Liew, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) meninggal dunia pada 11.50 pagi dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
-- BERNAMA
#Warisan #VK Liew #Liew Vui Keong #Pengerusi Tetap #perjuangan #Presiden Warisan #Mohd Shafie Apdal #bekas Ketua Menteri Sabah #Batu Sapi #Dr Lindai Lee #jangkitan paru-paru #Ahli Parlimen Batu Sapi