KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman kekal mengetuai barisan kepimpinan Angkatan Muda Harapan Pahang pada pemilihan jawatan kuasa itu.

Dalam satu kenyataan Pakatan Harapan Pahang pada Jumaat memaklumkan, kepimpinan baharu yang akan bersama Young Syefura dalam mengemudi sayap pemuda Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada tiga timbalan ketua iaitu Muhammad Ibrohim Mazalan, Chan Chun Kuang, dan Leong Woi Hong.

"Setiausaha, timbalan setiausaha disandang Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan Chris Shan Mei Yen manakala bendahari (Chang Zi Kang).

"Biro Pilihan Raya disandang Mohd Mustaqim Abdul Jalil dan Biro Mobilisasi, P Ragavan serta Biro Penerangan pula Amar Nur Akhyar Rosli," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Angkatan Muda Harapan Pahang telah mengadakan mesyuarat dan barisan kepimpinan yang dilantik telah membincangkan hala tuju dan misi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata kenyataan itu, kepimpinan tersebut sedia memperkukuhkan dan memperkasakan setiap komponen yang ada serta bersedia menghadapi PRU15 sebagai sayap PH Pahang dan akan menjadi tunjang kepada kekuatan PH di negeri ini.

"Mereka sudah bersedia untuk kerja-kerja menggempur di lapangan dan telah menyasarkan beberapa kawasan yang berpotensi untuk ditawan pada pilihan raya akan datang ini.

"Sehubungan dengan itu, Angkatan Muda Harapan negeri Pahang bersetuju untuk menjadi tuan rumah seterusnya kepada siri Jelajah Anak Muda Harapan dan lokasi Pentas Anak Muda akan diadakan di Temerloh," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Wanita PH Pahang telah bermesyuarat pada Jumaat bagi memperkemas Jawatan kuasa Wanita PH dan merangka hala tuju sebagai persediaan untuk tujuan sama.

Senarai kepimpinan Wanita PH telah dikemas kini di bawah kepimpinan ketuanya, Noraini Abdul Ghani diikuti dua timbalan ketua, D Kamache dan Haslindalina Hashim manakala setiausaha dan penolong setiausaha disandang oleh Rozina Abu Bakar bersama Sridayu Samsuri.

Seterusnya, bendahari pula, Leong Yu Man; biro pilihan raya, Haslindalina Hashim; biro mobilisasi, R Saraswathy dan biro penerangan,Sabrina Md Yusof.

Terdapat sembilan ahli jawatankuasa yang dilantik iaitu Low Bee Heong, Liang Ah Kon, Thanalakshumi Ramachandran Norhayati Rasah, Farahida Fauzi, Siti Mariam Daud, Hanisam Mohamed Salleh dan Amrah Long serta Norhaizan Abu Hassan.

Berdasarkan kenyataan itu, Wanita PH Pahang beriltizam untuk memperkukuhkan dan memperkasakan kekuatan jentera wanita dari parti-parti gabungan PH dalam usaha memastikan kemenangan dalam PRU15.

"Mereka bersedia mendokong agenda wanita Malaysia yang sedang dirangka di peringkat pusat bagi mengangkat kesejahteraan masyarakat Malaysia di segenap lapisan.

"Selain itu, mereka bersedia menyambut siri Jelajah Wanita PH ke Pahang dijadualkan ke seluruh negara dalam usaha kempen," tulis kenyataan itu lagi. - Sinar Harian