ISKANDAR PUTERI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud perselisihan atau masalah antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) kekal komited memastikan kestabilan politik negara sehingga tamat penggal.
Beliau berkata tiada sebarang masalah sama ada secara peribadi mahupun rasmi antara beliau dengan Anwar, termasuk ketika menghadiri mesyuarat Kabinet serta majlis dan acara rasmi kerajaan.
“Saya tidak ada sebarang masalah sama ada dari segi peribadi atau secara rasmi. Yang penting bagi Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah daripada komponen dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia ialah kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.
“Kami melakukan proses membuat keputusan dan juga mencapai keputusan secara profesional,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Educity, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bloomberg sebelum ini bahawa hubungan antara Anwar dengan Ahmad Zahid dikhabarkan semakin tegang sehingga menyebabkan mesyuarat Kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.
Laporan itu menyebut bahawa ketegangan berkenaan berpunca daripada tindakan Ahmad Zahid yang memutuskan BN menentang PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Pengerusi BN itu juga berkata komitmen BN untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh selaras dengan resolusi Perhimpunan Agung UMNO.
Beliau berkata kestabilan politik amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia terus terpelihara selain menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita tahu bahawa resolusi Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia ini sehingga tamat tempoh.
“Inilah yang kami lakukan supaya terdapat kestabilan politik yang sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang permasalahan, terutamanya daripada pelabur-pelabur luar negara, FDI (Pelaburan Langsung Asing), dan juga untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata dakwaan tentang wujudnya masalah antara kepimpinan BN dengan Perdana Menteri tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Hakikatnya, tidak ada sebarang permasalahan di hadapan ketika kita berada dalam mesyuarat Kabinet ataupun dalam majlis-majlis atau acara rasmi kementerian atau jabatan serta agensi-agensi peringkat Persekutuan,” katanya.
-- BERNAMA