KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan bahawa Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin sewajarnya diberi peluang mengetuai UMNO di negeri itu.

Jelasnya, ia bersandarkan prestasi Ahli Parlimen Padang Besar itu dalam memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Saya berterima kasih kepada Presiden UMNO bagi kepercayaan kepada saya selama ni, kita dah pimpin politik, kita letak matlamat capai 100 peratus (kemenangan).

"Dari segi perkiraan politik, sewajarnya Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, (Ahli Parlimen) Padang Besar diberi peluang, kalau saya tidak dapat kepercayaan (sandang jawatan)," kata Shahidan pada sidang media khas di sebuah hotel di ibu negara, malam ini.

Bagaimanapun Shahidan berkata, beliau menghormati dan akur dengan keputusan Presiden UMNO itu.

"Kerana beliau (Zahidi) menang lima kerusi (DUN) di Padang besar, apa pun pendirian beliau (Ahmad Zahid),  Zahidi layak diberi pertimbangan.

"Bagaimanapun presiden telah buat keputusan dan keputusan kita patuhi," katanya lagi.

BACA: Shahidan gesa Jawankuasa Disiplin UMNO ambil tindakan terhadap pemimpin sokong Anwar

BACA: Azlan ganti Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis - Zahid

Mengulas mengenai pelucutan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, jelas Shahidan beliau hanya mengetahuinya menerusi laporan media pada Sabtu.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis yang disandang Shahidan digantikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Pertukaran itu berkuatkuasa serta merta.