'Zaid Ibrahim saya dah lawan, Khalid Ibrahim saya dah lawan..' - Azmin

Fareez Azman
Disember 8, 2019 13:04 MYT
AZMIN: Yang lawan saya tidak pernah saya kata pengkhianat. - Gambar fail
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan seluruh anggota parti agar mengambil perbezaan pandangan sebagai cara memperkukuhkan parti bukan dengan mencaci atau menghina.
Malah katanya, sepanjang perjuangan beliau bersama parti, beberapa nama pemimpin penting pernah dilawannya ketika berbeza pendapat dan tidak melabelkan mereka pengkhianat.
"Yang lawan saya tidak pernah saya kata pengkhianat, Zaid Ibrahim lawan saya, saya tabik kamu demokrat, Khalid Ibrahim dah lawan, saya tabik kamu demokrat.. Jadi Zaid Ibrahim dah lawan, Khalid Ibrahim dah lawan...
"Kita nak ada maruah, kita nak ada prinsip. Perbezaan itu perkukuhkan parti tapi jangan cerca, maki, fitnah. Tahun 1998 bila Presiden kita difitnah, kita tidak tanya tetapi kita terus 'terjun' di jalan raya. Bila orang tanya kita kata dia (Presiden) orang baik," ujar Azmin dalam acara Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di ibu negara pada Ahad.
Meskipun terus mempertahankan Presiden, namun beliau kecewa apabila reaksi berbeza diterimanya ketika difitnah enam bulan lalu.
"Minggu lepas, dia (Anwar) kena lagi (tuduhan kontroversi), sekali lagi walaupun kalau ikut hati geram juga tetapi saya tidak berganjak bila media tanya apa pandangan. Saya jawab secara tuntas, sebagai Timbalan Presiden saya akan mempertahankan Presiden saya. Prinsip PKR kita tolak politik kotor dan jijik," katanya.
Isu Azmin dan Anwar menjadi 'panas' selepas Kongres Nasional PKR 2019 yang berlangsung di Melaka Sabtu.
Dalam ucapan pergulungan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh kisah 'Si Kitol' dan 'kerajaan negeri Melaka'.
BACA: 'Kamu belum kenal Azmin Ali!'
BACA: 'Aku pejuang dan kau pengkhianat?' - Azmin Ali
#Anwar Ibrahim #Keadilan #Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 #Mohamed Azmin Ali #pengkhianat #PKR #Politik Malaysia