SEPANG: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan beliau masih menunggu tarikh untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan kedudukannya dalam kabinet.

Zuraida yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga mengesahkan tiada pertemuan antaranya dengan Ismail Sabri pagi ini.

"Saya masih menunggu tarikh, tadi mesyuarat Kabinet dan tak bincang," katanya pada Rabu.

Ahli Parlimen Ampang itu dijadual menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia (AIKM) 2022 anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) di sebuah hotel Kota Kinabalu, Sabah, jam 7.45 malam ini.

Khamis lalu, Ismail Sabri memaklumkan kepada pemberita akan bertemu Zuraida sebelum mesyuarat kabinet pada Rabu bagi membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuntut kedudukan Zuraida diberikan kepada parti itu kerana ia adalah kouta parti tersebut.

Katanya, jawatan menteri sememangnya menjadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Ismail Sabri dengan pimpinan PN.

Ismail Sabri ketika berada di Tokyo, Jepun baru-baru dilapor berkata Zuraida masih menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida menerusi kenyataannya mengumumkan keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selain turut meletakkan jawatannya sebagai menteri.

Sebelum menyertai Bersatu, Zuraida memegang jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dipecat akibat tindakannya bersama dengan beberapa Ahli Parlimen parti itu yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Langkah Sheraton.

*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian