Skip to main content

Dunia

Chelsea, Burnley kecam tindakan perkauman terhadap Fofana, Mejbri

Premier League - Chelsea v Burnley
Pemain tengah Burnley, Hannibal Mejbri menerima kata-kata berbaur perkauman di media sosial selepas perlawanan seri 1-1 aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada Sabtu. - Gambar Reuters

PERTAHANAN Chelsea, Wesley Fofana dan pemain tengah Burnley, Hannibal Mejbri berkata, mereka menerima kata-kata berbaur perkauman di media sosial selepas perlawanan seri 1-1 aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada Sabtu.

Fofana yang dilayangkan kad merah pada minit ke-72 selepas menerima kad kuning kedua kerana terjahan terhadap James Ward-Prowse, berkongsi tangkap layar mesej yang diterimanya di Instagram selepas perlawanan.

Advertisement

“2026, masih perkara yang sama, tiada apa-apa berubah,” tulis pemain Perancis itu di Instagram. 

“Individu seperti ini tidak pernah dihukum. Anda cipta kempen besar menentang perkauman, tetapi tiada siapa yang benar-benar melakukan apa-apa.”

Chelsea mengecam perbuatan itu di laman web rasmi mereka.

“Tingkah laku sebegini sama sekali tidak boleh diterima dan bertentangan dengan nilai permainan serta segala yang kami perjuangkan sebagai sebuah kelab. Tiada ruang untuk perkauman,” kata kenyataan itu.

“Kami berdiri teguh bersama Wes. Dia menerima sokongan penuh daripada kami, begitu juga semua pemain kami yang terlalu kerap terpaksa menanggung kebencian ini hanya kerana melakukan pekerjaan mereka.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan platform yang berkaitan untuk mengenal pasti pelakunya dan mengambil tindakan paling tegas.”

Mejbri, yang menjadi mangsa kekasaran untuk kad kuning pertama daripada dua kad yang membawa kepada pengusiran Fofana, turut memuat naik mesej berbaur perkauman yang diterimanya di media sosial.

“Didiklah diri anda dan anak-anak anda,” tulisnya dalam Instagram Story.

Burnley menyatakan sokongan terhadap pemain Tunisia itu dan menegaskan, tidak ada ruang untuk perkauman di kelab tersebut.

“Tiada tempat untuk ini dalam masyarakat kita dan kami mengecamnya sepenuhnya,” kata kenyataan itu di laman web mereka.

“Kelab tetap tegas dengan pendiriannya – kami mempunyai pendekatan sifar toleransi terhadap apa jua bentuk diskriminasi.

“Kelab telah melaporkan hantaran tersebut kepada syarikat induk Instagram, Meta, dan berharap mendapat sokongan penuh daripada mereka, bersama Liga Perdana dan pihak polis, serta akan berusaha memastikan individu bertanggungjawab dikenal pasti dan disiasat.”

Keputusan seri itu menyaksikan Chelsea naik ke tangga keempat berdasarkan perbezaan jaringan, mengatasi Manchester United bimbingan Michael Carrick, yang akan menentang Everton pada Isnin dan berpeluang merampas kedudukan itu jika berjaya meraih kemenangan. - Agensi

Must Watch Video