Skip to main content

Dunia

ECJ persoal keraguan beberapa peraturan ejen FIFA, serah keputusan akhir kepada mahkamah

FIFA WORLD CUP 2026 LOGO
FIFA berpendapat, peraturan itu diperlukan bagi mengekalkan integriti sukan bola sepak dan memastikan ketelusan, selain menyambut baik keputusan ECJ pada Khamis.
Advertisement

BRUSSELS: Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) membangkitkan keraguan terhadap kesahihan beberapa peraturan berkaitan ejen pemain yang diperkenalkan badan induk bola sepak dunia, FIFA, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

ECJ pada Khamis berkata peraturan yang menghalang ejen daripada mendekati pemain atau jurulatih yang terikat dengan perjanjian perwakilan eksklusif di luar tempoh yang ditetapkan berkemungkinan "tidak selaras dengan larangan terhadap kartel", kerana ia memberi "kelebihan yang tidak wajar" kepada ejen lain yang terikat dengan perjanjian perwakilan eksklusif dan boleh memeterai kontrak di luar tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, hakim ECJ berkata keputusan muktamad tetap terletak kepada mahkamah yang mendengar kes berkenaan.

Syarikat RRC memohon injunksi terhadap beberapa peraturan FIFA di sebuah mahkamah daerah di Mainz, Jerman, yang kemudian merujuk perkara itu kepada ECJ untuk mendapatkan keputusan.

Antara peraturan yang dipertikaikan ialah perwakilan berganda, imbuhan ejen, keperluan mendapatkan lesen FIFA serta pendedahan maklumat tertentu kepada FIFA.

ECJ berkata peraturan FIFA yang mengehadkan perwakilan berganda dan pelesenan ejen "merupakan halangan kepada kebebasan asasi itu."

ECJ bagaimanapun menegaskan bahawa mahkamah yang mendengar kes berkenaan perlu menentukan sama ada "halangan terhadap kebebasan untuk menyediakan perkhidmatan itu boleh dibenarkan berdasarkan objektif sah demi kepentingan awam" termasuk melindungi pemain dan jurulatih daripada amalan penyalahgunaan oleh ejen.

FIFA pula berpendapat peraturan itu diperlukan bagi mengekalkan integriti sukan bola sepak dan memastikan ketelusan, selain menyambut baik keputusan ECJ pada Khamis.

Menurut FIFA, ECJ "menyokong elemen utama" peraturannya dan "mengesahkan kuasa pengawalseliaan FIFA" berhubung ejen bola sepak.

Keputusan itu dibuat seminggu selepas ECJ memutuskan dalam satu kes yang hampir serupa membabitkan syarikat ejen Rogon dan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), bahawa peraturan ejen DFB "mungkin termasuk dalam pengecualian terhadap larangan kartel".

Kes itu kini dibawa ke Mahkamah Keadilan Persekutuan Jerman, iaitu mahkamah tertinggi negara itu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement