ZANDVOORT, BELANDA: Lewis Hamilton percaya beliau berpeluang menamatkan perlumbaan di podium Grand Prix (GP) Belanda pada Ahad sekiranya Ferrari bertindak lebih pantas untuk membolehkannya mendahului rakan sepasukan, Charles Leclerc.
Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali itu akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hanya kurang satu saat di belakang George Russell dari Mercedes, manakala Leclerc menamatkan saingan di kedudukan kelima.
Pemandu McLaren, Lando Norris muncul juara perlumbaan, sementara dua pemandu Mercedes, Kimi Antonelli dan Russell, melengkapkan kedudukan podium di tempat kedua dan ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Hamilton kini berkongsi jumlah mata yang sama dengan Russell dalam kedudukan kejuaraan dunia, namun masih ketinggalan 59 mata di belakang Antonelli.
Sepanjang perlumbaan, Hamilton memaklumkan kepada Ferrari bahawa beliau mempunyai kelajuan lebih baik berbanding Leclerc menerusi strategi tayar yang berbeza.
Namun, pasukan Itali itu mengambil masa satu pusingan sebelum mengarahkan Leclerc masuk ke pit.
“Jangan biarkan kita menghalang peluang untuk keputusan yang lebih baik,” kata Hamilton menerusi komunikasi radio pasukan.
Selepas Leclerc akhirnya dipanggil masuk ke pit, Hamilton memulakan usaha mengejar Russell, namun gagal menamatkan perlumbaan di kelompok tiga teratas.
“Pembaziran masa yang besar, bagus kerja kamu semua,” katanya secara sinis menerusi radio pasukan selepas situasi itu berlaku.
Bercakap kepada media selepas perlumbaan, Hamilton tetap memuji pasukannya dan menyifatkan strategi Ferrari secara keseluruhan sebagai baik, walaupun mengakui kecewa dengan apa yang berlaku.
“Saya berada di sini untuk menang dan saya benar-benar percaya pasukan ini mampu menang.
“Kami mungkin tidak mampu memenangi perlumbaan ini, tetapi untuk memenangi kejuaraan, setiap mata sangat penting. Beberapa perlumbaan kebelakangan ini agak sukar dengan penalti dan pelbagai perkara lain,” katanya kepada Sky Sports.
Menurut Hamilton, masa yang hilang ketika berada di belakang Leclerc memberi kesan besar terhadap kedudukannya di penghujung perlumbaan.
“Hari ini saya kehilangan beberapa saat di belakang Charles dan saya fikir itulah yang akhirnya menjadi penentu perbezaan keputusan pada penghujung perlumbaan,” katanya.
Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di laman sendiri Ferrari di Litar Monza, Itali, berhampiran Milan.
Setakat musim ini, Hamilton dan Leclerc masing-masing telah meraih satu kemenangan buat Ferrari.
Ferrari masih memburu kejuaraan Formula Satu pertama sejak kali terakhir memenanginya pada musim 2008. - Agensi