Skip to main content

Dunia

Konflik AS-Iran: FIFA mahu semua pasukan beraksi dalam Piala Dunia 2026, termasuk Iran

Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, menegaskan bahawa organisasi tersebut kekal fokus terhadap penyertaan semua pasukan dalam Piala Dunia 2026, meskipun selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.
FIFA akan meneruskan komunikasi dengan kerajaan ketiga-tiga negara tuan rumah bagi menjamin keselamatan semua pihak. - Foto Astro ARENA

SETIAUSAHA Agung FIFA, Mattias Grafstrom, menegaskan bahawa organisasi tersebut kekal fokus terhadap penyertaan semua pasukan dalam Piala Dunia 2026, meskipun selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.

AS melancarkan serangan ke atas Iran dalam apa yang disifatkan oleh Presiden Donald Trump sebagai satu "operasi tempur besar-besaran."

Advertisement

Iran kemudiannya bertindak balas dengan menyerang pangkalan udara AS di wilayah Teluk, termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, dan Bahrain.

Pertembungan antara kedua-dua negara itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum Iran dijadualkan berlepas ke AS untuk saingan Piala Dunia, yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico, dan Kanada.

Berdasarkan undian, Iran berada dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir, dan New Zealand, dengan dua perlawanan dijadualkan berlangsung di Los Angeles (15 dan 21 Jun) dan satu di Seattle (26 Jun).

Susulan serangan berkenaan, Grafstrom menyatakan bahawa FIFA sedang memantau situasi semasa tetapi kekal optimis kejohanan itu akan diteruskan dengan penyertaan Iran seperti yang dirancang.

"Saya membaca laporan berita [mengenai Iran] pagi ini sebagaimana anda semua," ujar Grafstrom dalam mesyuarat agung tahunan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) di Cardiff, Wale.

"Kami telah mengadakan mesyuarat hari ini dan masih terlalu awal untuk memberikan ulasan terperinci tetapi kami akan memantau perkembangan semua isu di seluruh dunia.

"Kita telah mengadakan majlis undian akhir di Washington yang dihadiri semua pasukan, dan fokus utama kami adalah untuk memastikan Piala Dunia yang selamat dengan penglibatan kesemua pasukan yang bertanding."

Grafstrom turut menambah, FIFA akan meneruskan komunikasi dengan kerajaan ketiga-tiga negara tuan rumah bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Bagaimanapun, situasinya tetap rumit memandangkan pelawat dari Iran sudah dilarang memasuki AS di bawah sekatan perjalanan yang diumumkan pentadbiran Trump pada Jun lalu, yang membabitkan 19 buah negara.

Pada Disember lalu, Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj, memberi amaran bahawa beberapa pemain dan kakitangan pasukan kebangsaan mereka mungkin dinafikan visa AS atas faktor latar belakang ketenteraan.

Ini kerana sebilangan pemain Iran pernah berkhidmat dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), sebuah cawangan elit tentera Iran, yang diklasifikasikan oleh kerajaan AS sebagai organisasi pengganas asing.

Setakat ini, Jabatan Negara AS tidak menolak kemungkinan permohonan visa sesetengah pemain Iran bakal ditolak.

 

Must Watch Video