PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Iran mendedahkan bahawa negara itu 'berkemungkinan besar' tidak akan menyertai Piala Dunia 2026 musim panas ini.
Susulan ketegangan yang semakin memuncak di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, pentadbiran Donald Trump telah mengumumkan "operasi tempur besar-besaran" terhadap negara itu semalam.
Advertisement
AS dan Israel melancarkan beberapa serangan ke atas Iran dengan mendakwa ia bertujuan menghalang pembangunan senjata nuklear, selain Presiden AS, Trump, menggesa rakyat Iran untuk menggulingkan pemerintah mereka.
Rentetan serangan itu, penyertaan Iran dalam Piala Dunia, yang bakal dianjurkan bersama oleh AS, Mexico, dan Kanada musim panas ini, mula dipersoalkan.
Terbaharu, Persekutuan Bolasepak Iran mengeluarkan kenyataan yang mengakui bahawa pasukan kebangsaan mereka kini tidak mungkin akan beraksi dalam pertandingan terbesar itu.
Iran sebelum ini melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut pada Mac lalu dan dijadualkan beraksi dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan di AS pada Jun depan.
Berdasarkan jadual asal, mereka sepatutnya menentang New Zealand pada 15 Jun di Los Angeles, diikuti Belgium pada 21 Jun di bandar yang sama, sebelum menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Namun, ekoran konflik yang berterusan dengan negara tuan rumah berkenaan, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, menyuarakan keraguan mengenai peluang Iran untuk bertanding.
Bercakap melalui televisyen awam Iran di Tehran (dipetik melalui Marca), dia berkata: "Dengan apa yang berlaku hari ini serta serangan oleh Amerika Syarikat, adalah tidak mungkin untuk kami menaruh harapan terhadap Piala Dunia, namun pemimpin-pemimpin sukan yang akan membuat keputusan muktamad mengenainya."
Mehdi turut mengesahkan saingan liga domestik negara itu kini digantung sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.