Skip to main content

Dunia

Medal Maraton Sydney cetus kontroversi, didakwa paparkan stadium di Munich

[TB]_Sydney Marathon Medal_IG sydney_marathon
Pemerhati mendakwa imej stadium yang terukir pada medal itu lebih menyerupai Allianz Arena di Munich berbanding Allianz Stadium di Sydney. - Foto X/Drew Grimaldi
Advertisement

SYDNEY: Penganjur Maraton Sydney berdepan persoalan menjelang perlumbaan berprestij itu selepas medal penyertaan edisi 2026 didakwa memaparkan imej stadium di Munich, Jerman, dan bukannya stadium terkenal di Sydney yang menjadi sebahagian daripada laluan perlumbaan.

Kontroversi itu tercetus selepas akaun media sosial rasmi Maraton Sydney memperkenalkan reka bentuk medal berkenaan dan mengajak orang ramai meneliti perincian yang menggambarkan perjalanan laluan maraton sejauh 42.2 kilometer.

Menurut penganjur, reka bentuk medal itu menampilkan latar langit Sydney serta mercu tanda utama yang bakal dilalui peserta, termasuk Jambatan Sydney Harbour dan Rumah Opera Sydney yang menjadi lokasi penamat perlumbaan.

Bagaimanapun, pemerhati mendakwa imej stadium yang terukir pada medal itu lebih menyerupai Allianz Arena di Munich berbanding Allianz Stadium di Sydney.

Allianz Arena terkenal dengan reka bentuk unik yang menggunakan ribuan panel berbentuk berlian, manakala Allianz Stadium di Sydney mempunyai reka bentuk muka bangunan yang lebih rata dengan kemasan jalur logam berwarna gangsa.

Maraton Sydney belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan kesilapan tersebut.

Seramai 40,000 pelari dijangka menyertai acara yang akan berlangsung pada 30 Ogos itu selepas lebih 120,000 permohonan diterima menerusi sistem undian.

Sementara itu, satu lagi sisi medal berkenaan menampilkan corak emas dan nila hasil karya artis Orang Asli Australia, Ambrose Killian. Penganjur menjelaskan 42 tanda separuh bulatan pada bahagian tepi medal melambangkan setiap kilometer laluan perlumbaan.

Killian bagaimanapun memaklumkan beliau tidak terlibat dalam penghasilan reka bentuk pada bahagian medal yang kini menjadi perhatian.

Insiden itu mengingatkan kepada kesilapan serupa dalam acara Great North Run di Newcastle tahun lalu apabila medal perlumbaan tersebut secara tidak sengaja memaparkan Sungai Wear dan bandar Sunderland yang tidak termasuk dalam laluan acara berkenaan.

Maraton Sydney merupakan antara perlumbaan maraton utama dunia selepas diiktiraf sebagai bandar ketujuh dalam siri Abbott World Marathon Majors pada 2024, menyertai London, Berlin, Boston, Chicago, New York dan Tokyo.

 

Must Watch Video

Advertisement