Skip to main content

Dunia

Mexico cipta Rekod Dunia Guinness bagi kelas bola sepak terbesar

Mexicans participate in an attempt to set a new Guinness World Record, where organisers aim to break the mark for the world's largest football (soccer) lesson as part of efforts to promote the country ahead of the 2026 FIFA World Cup, at Zocalo square in Mexico City, Mexico, March 15, 2026. REUTERS/Quetzalli Nicte-Ha
Warga Mexico mengambil bahagian dalam usaha mencipta Rekod Dunia Guinness baharu di Dataran Zocalo, Mexico City, Mexico. - Foto REUTERS

MEXICO CITY: Ribuan penduduk Mexico memenuhi dataran utama ibu negara pada Ahad untuk menyertai sesi latihan bola sepak beramai-ramai yang berjaya mencipta Rekod Dunia Guinness sebagai kelas bola sepak terbesar di dunia, lapor Reuters.

Seramai kira-kira 9,500 peserta berhimpun di Zocalo bagi mengikuti sesi latihan selama hampir 40 minit, sekali gus memecahkan rekod terdahulu yang dicatatkan di Seattle, Amerika Syarikat dengan hanya 1,038 peserta.

Advertisement

Hakim Guinness World Records, Alfredo Arista, mengumumkan kejayaan tersebut sejurus tamat sesi latihan.

Datuk Bandar Clara Brugada berkata pencapaian itu membuktikan kemampuan rakyat Mexico untuk bersatu melalui sukan.

Menurut beliau, rekod berkenaan turut membawa mesej bahawa bola sepak ialah bahasa sejagat yang mampu menyatukan masyarakat.

Acara tersebut merupakan sebahagian daripada kempen “Social World Cup” menjelang Piala Dunia FIFA 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Para peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, kanak-kanak dan warga emas yang menjalani latihan asas bola sepak bersama jurulatih profesional.

Antara yang hadir ialah pemain daripada pasukan wanita Mexico yang memenangi 1971 Women's World Cup serta bekas penjaga gol kebangsaan Oscar Perez.

Walaupun sambutan berlangsung meriah, beberapa peserta mengakui situasi keselamatan negara masih menjadi kebimbangan susulan keganasan kartel kebelakangan ini.

Namun ramai tetap optimis menjelang penganjuran Piala Dunia tahun depan yang akan membuka tirainya di Estadio Azteca pada 11 Jun.

Bagi kebanyakan peserta, acara di Zocalo itu dilihat sebagai pemanas badan menjelang pesta bola sepak terbesar dunia tersebut.
 

Must Watch Video