Skip to main content

Dunia

Pantang larang: Presiden Argentina tidak akan hadir perlawanan akhir Piala Dunia

Argentine President Javier Milei waves during a ceremony commemorating the 172nd anniversary of the Buenos Aires Stock Exchange in Buenos Aires, Argentina, July 16, 2026. REUTERS/Mariana Nedelcu
Presiden Argentina Javier Milei tidak akan menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia antara negaranya dengan Sepanyol pada Ahad atas sebab pantang larang. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

BUENOS AIRES: Presiden Argentina Javier Milei tidak akan menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia antara negaranya dengan Sepanyol pada Ahad atas sebab pantang larang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketika ditanya stesen radio El Observador sama ada beliau akan ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyaksikan perlawanan di East Rutherford, New Jersey, Milei menjawab: "Tidak, sama sekali tidak."

Beliau berkata akan mengikuti perlawanan akhir itu dari rumah seperti yang dilakukannya bagi perlawanan sebelum ini dan mengesahkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada rutin peribadinya untuk membawa tuah kepada skuad Albiceleste.

Rutin itu turut merangkumi pemakaian jaket yang sama. Milei berkata beliau pernah menanggalkan jaket berkenaan ketika perlawanan suku akhir menentang Switzerland.

"Sebaik sahaja saya menanggalkannya, kami dibolosi satu gol. Saya memakainya semula dan tidak lagi menanggalkannya sejak itu," katanya.

Amalan pantang larang yang dikenali sebagai cabalas merupakan sebahagian daripada budaya bola sepak Argentina bagi kebanyakan penyokong. Mereka sering menonton perlawanan di tempat yang sama atau memakai pakaian yang sama.

Milei berkata beliau akan membuka Istana Presiden Casa Rosada kepada skuad Argentina sekiranya mereka berjaya mempertahankan kejuaraan pada Ahad. “Saya akan memberi ruang sepenuhnya kepada pasukan. Saya tidak sepatutnya menjadi tumpuan dalam detik itu,” katanya sambil menegaskan bahawa ahli politik tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada sambutan kemenangan rakyat Argentina.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement