DUNIA bola sepak Portugal diselubungi kesedihan apabila bekas pemain West Bromwich Albion, Quevin Castro, meninggal dunia pada usia 25 tahun selepas rebah ketika aksi persahabatan di Lisbon pada Sabtu.
Castro, yang bermain di posisi tengah, ketika itu mewakili Real Sport Clube dalam perlawanan menentang Estrela da Amadora sebelum kejadian tragis tersebut menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan.
Persatuan Bolasepak Lisbon menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan serta kelab yang pernah diwakili pemain berkenaan.
"Kepada keluarga, rakan-rakannya dan kelab gabungan Real SC SAD, kami menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya pada saat tragis buat bola sepak Portugal ini," kata persatuan itu.
Castro memulakan perjalanan bola sepaknya di England selepas menyertai akademi West Brom pada 2021, sebelum diberi peluang membuat penampilan bersama skuad utama dalam saingan Piala Liga menentang Arsenal.
Selepas itu, dia dipinjamkan ke Burton Albion, Notts County dan Gateshead bagi mendapatkan lebih banyak pengalaman sebelum menamatkan kariernya bersama West Brom pada 2023.
Kelab berkenaan turut mengumumkan penghormatan khas buat Castro ketika aksi menentang Burnley, Ahad, sebagai tanda mengenang bekas pemain mereka.
"Albion akan memberi penghormatan kepada Quevin pada Ahad dengan tepukan selama seminit pada minit ke-25 perlawanan menentang Burnley.
"Pemain kendalian James Morrison akan memakai lilitan hitam di lengan," kata West Brom dalam kenyataan. - Sinar Harian