Skip to main content

Dunia

Perbicaraan kes kematian Maradona ditangguhkan susulan kesilapan dokumen - Laporan

51743145393_diegomaradona.jpg
Maradona menjalani pembedahan otak beberapa minggu sebelum kematiannya. - Gambar fail
Advertisement

BERLIN: Perbicaraan kes kematian legenda bola sepak Argentina Diego Maradona ditangguhkan selepas keputusan ujian buah pinggang didakwa tertukar, menurut laporan media yang dipetik Agensi Berita Jerman (dpa).

Laporan itu menyebut keputusan ujian yang sebenarnya milik bapanya telah tersilap dikaitkan dengan Maradona, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Nov 2020. Bapa Maradona, yang juga bernama Diego, meninggal dunia pada 2015.

Perbicaraan itu ditangguhkan selama seminggu, manakala mahkamah dilaporkan memerintahkan penyitaan rekod perubatan sebenar.

Maradona menjalani pembedahan otak beberapa minggu sebelum kematiannya. Pendakwa raya mendakwa doktor peribadi Maradona Leopoldo Luque, pakar psikiatri Agustina Cosachov dan seorang pakar psikologi, seorang lagi doktor, penyelaras perubatan penanggung insurans kesihatan serta dua penjaga atas pertuduhan membunuh tanpa niat. Kesemua yang didakwa menolak pertuduhan berkenaan.

Penyiasat percaya kesilapan serius telah berlaku dalam penjagaan di rumah pemenang Piala Dunia 1986 itu.

Kes berkenaan perlu dimulakan semula selepas perbicaraan pertama diisytiharkan batal dan tidak sah pada Mei tahun lepas selepas berlangsung selama 21 hari. Prosiding dihentikan selepas seorang hakim daripada panel tiga hakim digantung susulan penglibatannya dalam sebuah filem dokumentari tanpa kebenaran mengenai perbicaraan itu.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement