Skip to main content

Dunia

AS pertahan sekatan perjalanan pasukan Iran di Piala Dunia, perbincangan masih berlangsung

Andrew Giuliani, Executive Director of the White House Task Force for the FIFA World Cup 2026, speaks during an interview with Reuters at the FIFA Fan Festival Media Center, in Houston, Texas, U.S., June 20, 2026. Picture taken with a mobile phone. REUTERS/Lais Morais
Andrew Giuliani ketika ditemu bual di Pusat Media FIFA Fan Festival, Houston, Texas, AS, 20 Jun 2026. REUTERS
Advertisement

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan terus menilai pengaturan perjalanan skuad Iran pada Piala Dunia, namun buat masa ini pelan asal dikekalkan walaupun pasukan itu memaklumkan akan mengemukakan aduan kepada FIFA, kata Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Rumah Putih bagi kejohanan itu, Andrew Giuliani, kepada Reuters pada Sabtu.

Iran tidak berpuas hati dengan sekatan yang mewajibkan pasukan itu hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke venue perlawanan dalam tempoh 24 jam sebelum perlawanan dan perlu kembali terus ke pusat latihan mereka di Tijuana, Mexico sejurus tamat setiap perlawanan. 

Jurulatih Amir Ghalenoei menyifatkan pasukannya sebagai "pasukan yang paling tertindas dalam seluruh Piala Dunia".

Bagaimanapun, Giuliani berkata situasi itu tidak menentu dan pihaknya akan membincangkan langkah yang akan dilaksanakan bagi perlawanan ketiga Iran menentang Mesir di Seattle pada Jumaat, selepas pertemuan mereka dengan Belgium di Los Angeles pada Ahad.

"Situasi ini dinamik," kata Giuliani dalam temu bual eksklusif di Houston.

"Kami mempunyai rancangan ketika ini. Petang esok (selepas perlawanan menentang Belgium) mereka akan menaiki penerbangan selama 27 minit untuk kembali ke Tijuana.

"Kami akan melihat bagaimana keadaan untuk perlawanan kedua, dan kemudian akan ada perbincangan pada hari berikutnya mengenai pengaturan bagi perlawanan ketiga di Seattle."

Giuliani mempertahankan langkah yang dilaksanakan itu dan berkata perubahan pusat latihan pasukan Iran sebelum kejohanan bermula daripada Tucson ke Tijuana telah memendekkan tempoh perjalanan mereka.

"Perpindahan dari Tucson ke Tijuana, saya fikir memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat, dan sudah tentu mengurangkan masa perjalanan mereka ke Los Angeles.

"Tempoh penerbangan mereka adalah sejam lebih singkat berbanding jika berlepas dari Tucson. 

"Kami juga berpuas hati dengan perjalanan perlawanan pertama di Los Angeles.

"Saya ingin menegaskan bahawa semua pemain telah menerima visa. Semua jurulatih juga telah menerima visa.

“Terdapat beberapa pegawai pasukan yang tidak menerima visa kerana kami mendapati maklumat yang menjejaskan mengenai mereka, dan itulah keseimbangan yang kami maksudkan," katanya.

Giuliani berkata matlamat utama sentiasa untuk melindungi kepentingan AS serta pelawat antarabangsa yang menghadiri Piala Dunia.

"Kami mahu memastikan kejohanan bola sepak yang hebat ini berlangsung dengan baik, iaitu orang ramai dialu-alukan dan dapat menikmati Piala Dunia, sambil memastikan kami bukan sahaja melindungi rakyat Amerika tetapi juga semua pelawat antarabangsa yang datang ke sini," katanya.

Beliau mendedahkan bahawa tiada ancaman terhadap kejohanan itu dikenal pasti setakat ini, namun pihak berkuasa kekal berwaspada.

"Apa yang boleh saya katakan ialah perisikan kami telah meningkatkan pemantauan secara besar-besaran sejak awal tahun ini.

"Kami berbincang mengenainya setiap jam. Namun, setakat ini tiada ancaman yang dikenal pasti," katanya.

Giuliani turut berpuas hati terhadap 10 hari pertama kejohanan Piala Dunia itu.

"Segala-galanya berjalan seperti yang dirancang.

"Amat mengujakan untuk melihat aksi hebat di atas padang dan itulah yang menjadi perbualan utama kebanyakan pihak, yang sememangnya sesuatu yang positif.

"Saya fikir ini merupakan sambutan luar biasa sempena ulang tahun ke-250 Amerika, dengan Piala Dunia menjadi acara kemuncaknya yang amat istimewa," kata beliau.

-- REUTERS

 

TAG: AS, Piala Dunia FIFA 2026, Iran, visa

Must Watch Video

Advertisement