Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Hendry tidak gentar Neymar, sedia hadapi cabaran Brazil

Sumber: REUTERS
Hendry (kiri) pernah berdepan Neymar dalam saingan Liga Juara-Juara pada 2021 ketika beliau beraksi bersama Club Brugge, manakala bintang Brazil itu menyarung jersi Paris Saint-Germain. - Gambar Reuters
Advertisement

ATLANTA, AMERIKA SYARIKAT: Pertahanan Scotland, Jack Hendry menegaskan, beliau tidak gusar untuk berdepan Neymar sekiranya penyerang Brazil itu kembali cergas menjelang aksi Piala Dunia, Rabu ini.

Hendry berkata, beliau bersedia menghadapi cabaran tersebut dan menganggap pertembungan menentang Neymar sebagai ujian menarik.

“Tiada masalah. Saya cukup selesa untuk berdepan Neymar dan saya menantikannya. Ia pasti menjadi perlawanan yang hebat dan jika dia diturunkan, saya bersedia,” katanya kepada pemberita.

Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti sebelum ini memaklumkan bahawa Neymar, 34, dijangka kembali beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan C di Miami selepas terlepas dua aksi awal akibat kecederaan betis.

Hendry, 31, pernah berdepan Neymar dalam saingan Liga Juara-Juara pada 2021 ketika beliau beraksi bersama Club Brugge, manakala bintang Brazil itu menyarung jersi Paris Saint-Germain. 

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Ketika ini, Hendry beraksi bersama kelab Arab Saudi, Al Ettifaq, namun tidak sempat bertemu Neymar sepanjang tempoh pemain itu bersama Al Hilal, di mana beliau hanya tampil dalam tujuh perlawanan akibat dibelenggu kecederaan.

Scotland kini mengutip tiga mata daripada dua perlawanan dan berada di tangga ketiga Kumpulan C, sekali gus berpeluang cerah untuk layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama, meskipun tewas kepada Brazil, susulan format baharu kejohanan yang diperluaskan.

Sementara itu, Brazil menduduki tangga teratas kumpulan dengan empat mata berdasarkan perbezaan jaringan, di hadapan Maghribi yang akan menentang Haiti dalam satu lagi aksi kumpulan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement