Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026 pecah rekod kehadiran penonton

A general view of the MetLife stadium during the World Cup Group C soccer match between Brazil and Morocco in East Rutherford, N.J., near New York, Saturday, June 13, 2026. (AP Photo/Matt Slocum)
Piala Dunia 2026 terus melakar sejarah apabila jumlah kehadiran penonton setakat ini telah mengatasi gabungan dua edisi terdahulu di Russia dan Qatar, meskipun kejohanan itu masih berbaki empat perlawanan. - Gambar fail AP
Advertisement

NEW YORK: Piala Dunia 2026 terus melakar sejarah apabila jumlah kehadiran penonton setakat ini telah mengatasi gabungan dua edisi terdahulu di Russia dan Qatar, meskipun kejohanan itu masih berbaki empat perlawanan.

Menurut angka rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seramai 6,527,410 penonton hadir menyaksikan 100 perlawanan pertama kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Jumlah tersebut melepasi gabungan kehadiran yang dicatatkan pada Piala Dunia 2018 di Russia dan Piala Dunia 2022 di Qatar yang merekodkan keseluruhan 6,436,020 penonton.

Piala Dunia Russia 2018 mencatat kehadiran seramai 3,031,768 penyokong, manakala edisi Qatar 2022 menarik 3,404,252 penonton ke stadium sepanjang berlangsungnya kejohanan itu.

Apa yang lebih mengagumkan, pencapaian bersejarah tersebut diraih sebelum saingan Piala Dunia 2026 melabuhkan tirainya.

Kejohanan kali ini hanya memerlukan 100 perlawanan untuk melepasi jumlah kehadiran gabungan dua edisi terdahulu, sedangkan Russia 2018 dan Qatar 2022 memerlukan keseluruhan 128 perlawanan untuk mencapai angka berkenaan.

Dengan empat lagi perlawanan masih menanti, termasuk dua aksi separuh akhir, perebutan tempat ketiga dan final, jumlah kehadiran keseluruhan dijangka terus meningkat.

Piala Dunia 2026 juga telah mencatat beberapa rekod kehadiran sebelum ini, termasuk memecahkan rekod keseluruhan penonton sepanjang sejarah kejohanan yang sebelum ini dipegang oleh edisi 1994 di Amerika Syarikat.

Edisi kali ini merupakan Piala Dunia pertama yang menampilkan 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini. 

Format baharu itu bukan sahaja menambah jumlah perlawanan, malah membuka peluang kepada lebih banyak negara dan penyokong untuk menjadi sebahagian daripada temasya bola sepak terbesar dunia.

Sambutan luar biasa yang diterima sepanjang kejohanan mengukuhkan lagi status Piala Dunia sebagai acara sukan paling popular di dunia. 

Dengan stadium terus dipenuhi penyokong dari pelbagai negara, edisi 2026 dijangka menutup tirainya dengan rekod kehadiran yang sukar ditandingi pada masa hadapan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement