Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Uruguay seri 1-1 dengan Arab Saudi dalam aksi pembukaan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group H - Saudi Arabia v Uruguay - Miami Stadium, Miami Gardens, Florida, U.S. - June 15, 2026 Saudi Arabia's Mohammed Al-Owais makes a save from Uruguay's Sebastian Caceres REUTERS/Amanda Perobelli
Penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais menepis percubaan pemain Uruguay, Sebastian Caceres. - Gambar Reuters

MIAMI: Uruguay terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H Piala Dunia pada Isnin.

Arab Saudi terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Abdulelah Al Amri sebelum Uruguay menyamakan kedudukan hasil gol Maxi Araujo, dalam perlawanan yang turut menyaksikan kedua-dua pasukan memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan.

Pada babak pertama, Uruguay mendominasi permainan, namun Arab Saudi berjaya memecah kebuntuan bertentangan arus permainan pada minit ke-41. 

Kesilapan penjaga gol berpengalaman, Fernando Muslera dalam situasi bola mati membolehkan bola melantun ke arah Al Amri, yang mudah menolak masuk untuk memberikan kelebihan kepada skuad Timur Tengah itu.

Separuh masa kedua menyaksikan Uruguay meningkatkan tekanan dengan lebih banyak menguasai permainan di kawasan lawan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Asakan berterusan itu akhirnya berhasil apabila penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al Owais gagal mengawal bola dengan kemas, sekali gus memberi ruang kepada Araujo untuk menyempurnakan jaringan.

Keputusan itu menjadikan saingan Kumpulan H terbuka luas selepas aksi pertama, susulan satu lagi keputusan seri tanpa jaringan antara Sepanyol dan Cape Verde, dengan kesemua empat pasukan kini berkongsi satu mata. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement