Skip to main content

Dunia

"Saya datang untuk bantu menang Piala Dunia, tapi saya gagal..." Martinez umum undur diri sebagai jurulatih Portugal

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 16 - Portugal v Spain - Dallas Stadium, Arlington, Texas, U.S. - July 6, 2026 Portugal coach Roberto Martinez reacts REUTERS/Hannah Mckay
Roberto Martinez mengesahkan beliau akan meninggalkan pasukan kebangsaan itu selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 pada Isnin. - Gambar Reuters
Advertisement

ARLINGTON, TEXAS: Ketua jurulatih Portugal, Roberto Martinez mengesahkan beliau akan meninggalkan pasukan kebangsaan itu selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 pada Isnin.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu menyifatkan kekalahan tersebut sebagai penamat kepada satu kitaran buat skuad Portugal, selain memaklumkan kontraknya berakhir pada hari yang sama.

Menurut Martinez, matlamat utamanya ketika mengambil alih Portugal adalah untuk menjulang trofi Piala Dunia dan kegagalan mencapai sasaran itu menyebabkan beliau tidak melihat keperluan untuk terus kekal bersama pasukan.

“Saya datang ke Portugal untuk memenangi Piala Dunia dan saya fikir, jika gagal melakukannya, tiada sebab untuk meneruskannya.

“Lembaga pengarah dan presiden kini mempunyai peluang untuk memilih jurulatih baharu. Kontrak saya tamat hari ini, jadi tidak banyak lagi yang boleh diperkatakan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Martinez berkata, tiada keputusan muktamad dibuat sebelum kejohanan bermula, namun mengesahkan perlawanan menentang Sepanyol adalah aksi terakhirnya mengendalikan Portugal.

“Ya, ini perlawanan terakhir saya bersama pasukan kebangsaan.

“Saya amat berbangga. Saya diterima seperti rakyat Portugal sendiri, dengan penuh mesra. Ia satu penghormatan, kebanggaan dan tanggungjawab besar untuk saya,” katanya.

Penyingkiran Portugal turut dijangka menandakan berakhirnya karier panjang Cristiano Ronaldo di pentas antarabangsa.

Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai masa depan pemain berusia 41 tahun itu, Martinez menzahirkan penghargaan tinggi terhadap kapten pasukannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana beliau seorang kapten yang cukup teladan.

“Bukan sahaja dari sudut jaringan gol yang statistiknya bercakap sendiri, malah sumbangannya menerusi bantuan jaringan.

“Komitmen hariannya, cara beliau menghayati dan menjalani kehidupan sebagai pemain bola sepak menjadikannya satu contoh yang harus diraikan,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan, Martinez percaya Portugal berjaya memberikan tentangan hebat terhadap salah satu pasukan pilihan kejohanan, namun gagal mengelak kekalahan akibat beberapa detik kecil yang menjadi penentu.

“Kami menunjukkan keberanian ketika bertahan, bermain agresif dan mempertahankan gawang dengan sangat baik.

“Namun dalam perlawanan peringkat kalah mati Piala Dunia, perincian kecil menjadi pemisah.

“Sama ada bola terkena palang dan masuk atau tidak, ataupun peluang pada minit ke-90 hasil sepakan percuma pantas. Perincian-perincian inilah yang akhirnya menentukan segalanya,” katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement