Skip to main content

Dunia

Sepanyol diramal menang Piala Dunia 2026

FILE PHOTO: Soccer Football - World Cup - UEFA Qualifiers - Group E - Bulgaria v Spain - Vasil Levski National Stadium, Sofia, Bulgaria - September 4, 2025 Spain players pose for a team group photo before the match REUTERS/Stoyan Nenov/File photo
Sepanyol muncul sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2026, mengatasi Perancis, Argentina dan Brazil, menurut model ramalan oleh Goldman Sachs. - Gambar fail Reuters

SANTIAGO: Sepanyol muncul sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2026, mengatasi Perancis, Argentina dan Brazil, menurut model ramalan oleh Goldman Sachs yang diterbitkan pada Jumaat.

Model tersebut meletakkan Sepanyol dengan kebarangkalian 26 peratus untuk menjulang trofi pada kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Perancis berada di kedudukan kedua dengan 19 peratus, diikuti juara bertahan Argentina (14 peratus), Brazil (8 peratus) dan England (5 peratus), menurut nota penyelidikan bank berkenaan.

Menurut Goldman Sachs, ramalan itu dibuat berasaskan sistem penarafan Elo - kaedah penilaian prestasi yang asalnya digunakan dalam permainan catur sebelum disesuaikan untuk bola sepak - selain faktor tambahan termasuk kekuatan serangan, momentum semasa, mentaliti pasukan serta faktor geografi.

“Sepanyol diramal muncul juara kerana memiliki penarafan Elo tertinggi, disokong keupayaan menjaringkan gol serta momentum positif menjelang kejohanan,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, peluang Argentina dilihat menurun akibat fenomena yang digelar sebagai “kemerosotan juara”, iaitu kecenderungan pasukan juara bertahan untuk beraksi di bawah prestasi pada Piala Dunia berikutnya.

Perancis pula dijangka berdepan laluan sukar apabila berpotensi bertemu Sepanyol pada separuh akhir, sekali gus menjejaskan peluang mereka.

England turut diberikan penilaian lebih rendah susulan rekod kurang memberangsangkan dalam kejohanan besar, selain faktor geografi serta undian yang dianggap kurang memihak kepada mereka.

Goldman Sachs memaklumkan unjuran itu secara umumnya sejajar dengan kebarangkalian yang ditetapkan oleh pasaran pertaruhan, namun memberikan peluang lebih rendah kepada England berbanding jangkaan pasaran.

Tambah bank itu, model berkenaan mensimulasikan keputusan perlawanan menggunakan hampir 20,000 aksi antarabangsa sejak 1978, dan akan dikemas kini setiap hari sepanjang kejohanan berlangsung. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement