Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Piala Dunia 2026: Argentina singkir England 2-1

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Semi Final - England v Argentina - Atlanta Stadium, Atlanta, Georgia, U.S. - July 15, 2026 Argentina's Enzo Fernandez celebrates scoring their first goal REUTERS/Agustin Marcarian
Aksi pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez selepas meraikan jaringan gol pertama pasukannya. - Gambar Reuters
Advertisement

ATLANTA: Argentina mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 dalam aksi separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026, sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final menentang Sepanyol.

England terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Anthony Gordon pada minit ke-55 selepas memanfaatkan hantaran Morgan Rogers untuk menewaskan Emiliano Martinez. 

Gol itu meletakkan skuad kendalian Thomas Tuchel di landasan terbaik untuk melangkah ke final.

Selepas ketinggalan, Argentina meningkatkan intensiti serangan dengan Lionel Messi menjadi penggerak utama di bahagian depan. 

Pasukan juara bertahan itu terus memberi tekanan ke atas benteng England yang diketuai Jordan Pickford.

Pickford beberapa kali menyelamatkan gawang England daripada dibolosi, termasuk menafikan tandukan Nicolas Gonzalez, manakala Alexis Mac Allister turut hampir menyamakan kedudukan apabila percubaannya terkena tiang gol.

Tekanan berterusan Argentina akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 apabila Enzo Fernandez melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Pickford dan mengikat kedudukan 1-1.

Ketika perlawanan seakan menuju ke masa tambahan, Argentina melengkapkan kebangkitan dramatik mereka dalam masa kecederaan. 

Selepas percubaan Mac Allister terkena tiang, Messi pantas mendapatkan bola sebelum melorongkan hantaran tepat ke dalam kotak penalti yang disempurnakan Lautaro Martinez menerusi tandukan kemas untuk gol kemenangan pada minit ke-90+2.

Kemenangan itu memastikan Argentina mara ke final dan terus menghidupkan impian mempertahankan gelaran dunia yang dimenangi pada edisi lalu. Messi sekali lagi menjadi watak utama apabila mencipta kedua-dua bantuan gol dalam kebangkitan yang menghancurkan harapan England.

Bagi England, kekalahan itu merupakan satu lagi episod kekecewaan di pentas antarabangsa selepas gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki hampir sepanjang separuh masa kedua.

Argentina kini akan berdepan Sepanyol dalam perlawanan akhir, manakala England sekali lagi terpaksa melupakan impian untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi Piala Dunia sejak 1966. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement