Skip to main content

Dunia

[TERKINI] Piala Dunia 2026: Portugal tersingkir 0-1 kepada Sepanyol, Ronaldo bersara dalam duka

[TB]_Portugal v Spain_REUTERS
Sepanyol mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Portugal 1-0 hasil jaringan dramatik Mikel Merino pada masa kecederaan, sekali gus menyingkirkan juara Eropah itu daripada kejohanan. - Gambar Reuters
Advertisement

DALLAS, AMERIKA SYARIKAT: Sepanyol mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Portugal 1-0 hasil jaringan dramatik Mikel Merino pada masa kecederaan, sekali gus menyingkirkan juara Eropah itu daripada kejohanan.

Gol kemenangan Merino pada minit ke-91 bukan sahaja menghadiahkan kemenangan buat La Roja, malah berkemungkinan menjadi penampilan terakhir legenda Portugal, Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia.

Sepanyol kini menanti pemenang aksi antara Amerika Syarikat dan Belgium untuk menentukan lawan di peringkat suku akhir.

Pertembungan yang dinanti-nantikan itu bagaimanapun bermula dalam tempo berhati-hati apabila kedua-dua pasukan lebih banyak menguji kekuatan benteng pertahanan masing-masing berbanding menghasilkan peluang berkualiti.

Sepanyol hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Mikel Oyarzabal yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Portugal, namun percubaannya tersasar.

Portugal pula hampir mendahului apabila rembatan Nuno Mendes yang terkena pemain lawan melantun deras ke palang gol selepas berjaya melepasi penjaga gol Sepanyol, Unai Simón.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, turut beberapa kali mengancam kubu Portugal, namun gagal memecah kebuntuan sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, corak permainan tidak banyak berubah dengan Sepanyol lebih banyak menguasai permainan, namun kedua-dua pasukan terus buntu mencari jaringan.

Portugal hanya benar-benar menguji Simón pada minit ke-76 menerusi rembatan Bruno Fernandes yang sekadar melewati tiang gol.

Ketika perlawanan menghampiri penghujung, pengendali Portugal, Roberto Martínez, melakukan beberapa pertukaran bagi menyegarkan jentera pasukan, namun terus mengekalkan Ronaldo di atas padang.

Sepanyol akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-91 apabila Rodri melorongkan bola kepada Ferran Torres sebelum pemain itu melorongkan hantaran tepat kepada Merino yang tidak dikawal.

Merino tenang menyempurnakan peluang tersebut dengan menewaskan Diogo Costa untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Sepanyol.

Portugal hampir mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun tandukan Bernardo Silva pada saat-saat akhir sekadar melepasi palang gol.

Kekalahan itu menamatkan kempen Portugal pada Piala Dunia 2026 dan berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Ronaldo di kejohanan berprestij itu.

Pemain berusia 41 tahun itu, yang membuat penampilan keenam di Piala Dunia, dilihat tidak dapat menahan sebak apabila mengelilingi padang selepas wisel penamat sambil memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong Portugal.

Dengan edisi Piala Dunia berikutnya hanya akan berlangsung empat tahun lagi, peluang Ronaldo untuk kembali pada usia 45 tahun dilihat amat tipis, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa tirai kariernya di pentas Piala Dunia mungkin telah pun dilabuhkan. - Agensi
 

Must Watch Video

Advertisement