Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Abdul Latif dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Glasgow 2026

Sumber: BERNAMA
Abdul Latif diberi penghormatan besar sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos. - Gambar fail Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly diberi penghormatan besar sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

Turut memikul tanggungjawab besar bersama-sama pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu ialah atlet boling padang wanita negara, Emma Firyana Saroji yang dipilih sebagai pembawa baton.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nasir Ali pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-216 dan Perhimpunan Agung Tahunan MOM ke-45 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, hari ini.

“Majlis penyerahan Jalur Gemilang dijadualkan pada 16 Julai di Casa 4 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil yang akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari,” katanya.

Mengenai komposisi kontinjen ke Glasgow 2026, Mohd Nasir berkata, Malaysia menghantar 104 individu terdiri daripada 59 atlet termasuk 18 wanita dan 45 pegawai.

Glasgow 2026 mempertandingkan 10 jenis sukan termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu.

Pada 2022, Malaysia meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham di England.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Malaysia akan menghantar kontinjen berskala besar ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun pada September ini.

Beliau berkata, kontinjen negara akan dianggotai 523 individu termasuk 347 atlet dan 176 pegawai yang menggalas cabaran dalam 28 daripada 43 jenis sukan dipertandingkan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement