Skip to main content

Malaysia

Anjur kejohanan antarabangsa, atlet sorak negara tiada pusat latihan sendiri

Zaedah menyifatkan penganjuran APCC 2026 dan ICU ACC 2026 sebagai cabaran besar kepada Malaysia. - Gambar Astro AWANI
Zaedah menyifatkan penganjuran APCC 2026 dan ICU ACC 2026 sebagai cabaran besar kepada Malaysia. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

PUTRAJAYA: Di sebalik kemeriahan Malaysia menjadi tuan rumah dua kejohanan sorak antarabangsa, pasukan negara masih berdepan kekangan apabila tidak mempunyai pusat latihan khusus untuk persiapan atlet.

Ketiadaan kemudahan itu memaksa pasukan kebangsaan berkongsi ruang latihan dengan pasukan lain, sekali gus menuntut penyelarasan jadual yang lebih rumit.

Jurulatih Pasukan Malaysia Junior All Girls, Myra Natasya berkata, kekurangan kemudahan latihan merupakan antara cabaran terbesar dalam usaha meningkatkan prestasi atlet di pentas antarabangsa.

“Kekangan terbesar ialah kekurangan kemudahan latihan. Di Malaysia, kami tidak mempunyai pusat latihan sendiri dan perlu menyelaraskan penggunaannya dengan pasukan lain.

“Kami mempunyai banyak pasukan dalam kategori berbeza yang memerlukan pusat latihan besar, tetapi kemudahan sedemikian masih belum ada,” katanya pada Kejohanan Sorak Asia dan Piala Sorak Asia Pasifik 2026 di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, di sini, hari ini.

Menurut Myra, persiapan pasukan negara bermula sejak setahun lalu, termasuk proses pemilihan atlet dari seluruh negara yang disifatkannya cukup mencabar.

Bagaimanapun katanya, semangat kerjasama dalam komuniti sukan sorak menjadi kekuatan utama untuk memastikan persiapan pasukan terus berjalan meskipun berdepan kekangan.

“Secara keseluruhannya, kami mempunyai komuniti yang sangat bekerjasama selain keperluan menekankan kepentingan sokongan ibu bapa, barisan jurulatih dan kerajaan,” jelasnya.

Ujar Myra, usaha memperluas sukan sorak telah dilaksanakan termasuk memperkenalkannya di Terengganu dan Kelantan bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.

Sementara itu, Ketua Pasukan Malaysia, Sara Adelea mengakui atlet turut berdepan tekanan untuk memenuhi harapan tinggi terhadap persembahan mereka.

“Tekanan datang daripada harapan semua pihak yang mahu kami melakukan yang terbaik dan mencapai sesuatu yang baharu.

“Kami menjalani latihan berjam-jam setiap hari untuk memastikan prestasi semakin baik dari sehari ke sehari,” katanya.

Sara bagaimanapun menegaskan, kesukaran menguasai sesuatu rutin bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus memperbaiki persembahan.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Cheerleading Association and Register of Malaysia (CHARM), Zaedah Ahmad Zawawi pula menyifatkan penganjuran dua kejohanan antarabangsa itu sebagai cabaran besar kepada Malaysia.

“Malaysia menganjurkan acara besar, bukan sahaja Kejohanan Asia tetapi juga Piala Sorak Asia Pasifik. Ini cabaran besar buat Malaysia.

“Namun sebagai penganjur, kami bekerjasama dengan pasukan International Cheer Union (ICU) untuk menjayakan acara besar ini,” katanya.

Zaedah berharap penganjuran tersebut mampu menarik lebih ramai generasi muda menyertai sukan sorak, selain membuka peluang kepada bakat baharu untuk berkembang.

Bagi ibu kepada seorang peserta kejohanan, Hawadah Mohamed, sukan sorak bukan sekadar aksi akrobatik, malah mampu membentuk disiplin dan koordinasi fizikal kanak-kanak.

“Disiplin, koordinasi dan latihan fizikal sangat penting. Apabila melihat anak-anak berjaya menyempurnakan rutin persembahan, sebagai ibu bapa, sudah tentu kami sangat gembira,” katanya.

Atlet Indonesia, Anindya Putri Wirasti pula mengakui sokongan rakan sepasukan banyak membantunya mengatasi kesukaran pada peringkat awal, membuktikan bahawa di sebalik persembahan penuh tenaga, sukan sorak turut menuntut semangat berpasukan yang tinggi.

Must Watch Video

Advertisement