KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji semangat juang skuad wanita Bawah 17 Tahun (B-17) negara meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 selepas tewas 0-4 kepada India, malam tadi.
Beliau berkata semangat, usaha dan keberanian yang ditampilkan pemain untuk memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan wajar dihargai.
“Jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat untuk bangkit lebih kuat dan melakar kejayaan dalam kejohanan akan datang. Teruskan melangkah, Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Terdahulu, hasrat skuad muda negara untuk melakar sejarah dengan melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan itu di China tidak kesampaian apabila tewas kepada India dalam aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
Skuad negara sebelum itu memulakan kempen dengan menewaskan Syria 1-0, sebelum membelasah Iraq 4-0 dalam perlawanan kedua.
Mengikut format kejohanan, lapan juara kumpulan akan menyertai empat pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir, iaitu juara bertahan Korea Utara, Jepun, Australia dan tuan rumah China.
Pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 dijadual berlangsung dari 31 Mac hingga 17 April 2027.
-- BERNAMA