Skip to main content

Malaysia

Climbathon: Pelari Itali catat masa 3 jam 20 minit tawan Gunung Kinabalu

Oberbacher muncul juara bagi kategori elit lelaki pada edisi ke-33 Mount Kinabalu International Climbathon hari ini. - Gambar Bernama
Oberbacher muncul juara bagi kategori elit lelaki pada edisi ke-33 Mount Kinabalu International Climbathon hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

RANAU: Pelari Itali Alex Oberbacher muncul juara bagi kategori elit lelaki pada edisi ke-33 Mount Kinabalu International Climbathon hari ini, selepas menamatkan perlumbaan sejauh 24.5 kilometer yang mencabar dalam tempoh tiga jam 20 minit 54 saat (s).

Oberbacher, 32, menewaskan rakan senegara Daniel Antonioli, yang menduduki tempat kedua dengan catatan masa 3:23:46s manakala pelari Jepun Shoma Otagiri meraih tempat ketiga (3:29:54s).

Dalam kategori elit wanita, pelari Sepanyol June Villaroel, 25, merangkul gelaran juara dengan catatan masa 4:09:14s, mengatasi pelari Rusia Svetlana Nurmukhametova (4:18:45s) dan Vanja Cnops dari Belgium (4:42:19s).

Pelari Rusia Markov Evgenii muncul juara kategori veteran lelaki dengan catatan masa 3:29:11s, diikuti rakan senegaranya Ivan Vlasenko (3:51:02s) manakala wakil Malaysia Daved Simpat menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 3:52:21s.

Perlumbaan yang menarik penyertaan pelari dari 26 negara itu menyaksikan peserta mengharungi laluan mencabar merentasi Taman Kinabalu, mendaki Gunung Kinabalu hingga ke ketinggian 4,095.2 meter sebelum turun ke garisan penamat.

Oberbacher ketika mengulas mengenai kemenangan itu berkata perlumbaan berkenaan menjadi pengalaman yang mencabar tetapi berbaloi, khususnya melihat pemandangan menakjubkan di kawasan altitud tinggi.

“Pemandangannya sangat indah, terutamanya di puncak apabila anda dapat melihat batu-batuan. Pendakian itu sangat sukar dan panjang, hingga mencapai ketinggian 4,095.2 meter tetapi pengalaman itu sangat menarik,” katanya.

Sementara itu, Villaroel meluahkan rasa tidak percaya dan teruja dengan kemenangannya yang tidak dijangka.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata penyertaan antarabangsa dalam acara itu terus mengukuhkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan pengembaraan dan penganjuran acara sukan bertaraf dunia.

“Kejayaan kejohanan tahun ini mencerminkan reputasi Sabah yang semakin berkembang sebagai destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa. Kami berbesar hati menerima kehadiran atlet dari 26 negara, termasuk beberapa nama terkemuka dalam Merrell Skyrunner World Series untuk bertanding di Gunung Kinabalu,” katanya.

Perlumbaan yang dilepaskan oleh Jafry di Dewan Kinabalu pada 6.30 pagi itu turut menandakan pusingan ke-17 Merrell Skyrunner World Series 2026, dengan para pelari bersaing untuk mengumpul mata penting bagi kedudukan ranking menjelang peringkat akhir SkyMasters di Sepanyol pada 7 Nov.

Kali pertama dianjurkan pada 1987, Mount Kinabalu International Climbathon dikendalikan oleh Lembaga Pelancongan Sabah menerusi anak syarikatnya, Sri Pelancongan Sabah dengan kerjasama Taman-Taman Sabah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement