Skip to main content

Malaysia

Karate sasar enam emas Sukan SEA 2027 - Nur Azmi

Nur Azmi bercakap kepada media pada Majlis Penghargaan Atlet Karate Malaysia yang bertanding di Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026 di sebuah hotel hari ini. - Gambar Bernama
Nur Azmi bercakap kepada media pada Majlis Penghargaan Atlet Karate Malaysia yang bertanding di Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026 di sebuah hotel hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

SUBANG JAYA: Selepas cemerlang menuai dua pingat emas di Sukan Asia Aichi Nagoya, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meletakkan sasaran sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Malaysia dari 18-29 Sept.

Presidennya Datuk Nur Azmi Ahmad berkata sasaran itu dilihat realistik berdasarkan prestasi semasa atlet negara ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah berkenaan juga berpotensi ditingkatkan sekiranya atlet negara mempamerkan pencapaian memberangsangkan pada Kejohanan Karate Asia Tenggara (SEAKF) yang dijadual berlangsung pada penghujung Mei tahun depan.

“Kalau saya sebut (sasaran) nanti tuan-tuan terperanjat dan enam pingat emas itu akan datang daripada karate. 

“Kita pernah mendapat tujuh pingat emas pada 2017, jadi sudah pastinya karate adalah penyumbang pingat di Sukan SEA. Cuma kita nak menambahkan pingat untuk membantu kontinjen negara menjadi juara keseluruhan pada 2027 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan atlet karate Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat di Sukan Asia Aichi Nagoya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, Datuk Sumali Reduan.

Dalam pada itu, Nur Azmi memaklumkan 18 acara dijangka dipertandingkan untuk sukan karate pada temasya berkenaan namun ia bakal dimuktamadkan pada masa terdekat di Kuala Lumpur.

“Kita akan menjemput Presiden (Persatuan Karate) 11 negara (ASEAN) itu melihat sendiri venue dan ketika itu juga kita akan putuskan berapa kategori yang akan dipertandingkan.  

“Mungkin saya juga akan berbincang untuk buka kepada semua negara untuk menyertai 18 kategori tersebut,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai ganjaran kepada pemenang pingat Sukan Asia, beliau berkata MAKAF menyediakan insentif tunai kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara, selain menghadiahkan kereta elektrik kepada pemenang pingat emas sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka.

“Yang penting bukan harga kereta tersebut, tetapi semangat atlet. Apa yang lebih penting bagi kita sebenarnya ialah membantu negara mendapat pingat emas,” katanya.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara kumite bawah 50 kilogram (kg) C. Shamalarani dan bawah 55 kg, Adeola Fay Robert menzahirkan rasa terima kasih kepada MAKAF atas pemberian kereta elektrik.

Bagi Adeola Fay sumbangan tersebut sedikit sebanyak memberi semangat untuk beliau beraksi dengan lebih cemerlang terutamanya bagi menghadapi temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Malaysia pada Disember ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement