KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) Karim Ibrahim perlu mengosongkan jawatannya secara rasmi selepas Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) meluluskan pindaan perlembagaan MA bagi menyelaraskannya dengan peraturan Olahraga Dunia (WA).
MA meluluskan pindaan tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan itu, Sabtu lepas.
Pindaan tersebut menyaksikan mana-mana individu yang dikenakan penggantungan oleh WA atau Persatuan Olahraga Asia (AAA) tidak lagi layak memegang sebarang jawatan dalam MA.
Timbalan Presiden MA Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata selepas pindaan diluluskan PJS, Karim perlu mengosongkan jawatan disandangnya ketika ini dan tmbalan presiden akan mengepalai MA sehingga penggal sedia ada berakhir pada 2029.
Beliau berkata pihaknya dijangka menyerahkan dokumen pindaan perlembagaan kepada PJS dalam tempoh 10 hari untuk dikaji dan mendapatkan maklum balas.
“Sepatutnya kita perlu hantar dalam tempoh 30 hari selepas AGM, tetapi saya jangka kita boleh siap dalam 10 hari atau dua minggu sebab ia sangat straight forward dan kelulusan PJS dijangka diketahui dalam tempoh dua bulan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada awal bulan lepas, Karim dilaporkan bercuti daripada menerajui badan induk itu sehingga AGM baru-baru ini bagi membolehkan perlembagaan MA dipinda selaras perlembagaan WA.
Sebelum itu, status Karim sebagai presiden menjadi perhatian susulan penggantungan yang dikenakan terhadapnya pada 2018 oleh badan induk dunia itu, keputusan yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Bagaimanapun, beliau masih dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Persatuan Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023, walaupun selepas keputusan CAS.
-- BERNAMA