KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneliti pendekatan tuan rumah Aichi-Nagoya 2026 dalam penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) sebagai persediaan menghadapi Sukan Para ASEAN ke-14 di Kuala Lumpur pada Oktober tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata antara amalan Jepun yang boleh dipertimbangkan ialah memberi peluang kepada golongan OKU menguji sendiri kemudahan sebelum digunakan atlet bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan pengguna.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Gabenor Wilayah Aichi Hideaki Ohmura dan Datuk Bandar Nagoya Ichiro Hirosawa di Nagoya Harbor Hall, Jepun, bersempena dengan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Pendekatan ini sangat baik kerana mereka yang paling memahami keperluan OKU ialah golongan itu sendiri.
“Kita akan meneliti pendekatan ini untuk persiapan Sukan Para ASEAN 2027, supaya fasiliti yang disediakan benar-benar mesra dan selesa untuk atlet kita dan juga atlet dari negara-negara ASEAN,” katanya menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Mohammed Taufiq berkata pertemuan itu turut memberi peluang kepada Malaysia mempelajari pengalaman Aichi-Nagoya menganjurkan Sukan Asia dan Sukan Para Asia secara berturut-turut, termasuk aspek pengurusan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran kedua-dua temasya.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dari 18 hingga 29 Sept, diikuti Sukan Para ASEAN ke-14 dari 17 hingga 23 Okt tahun depan.
Kontinjen negara yang menyertai Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 18 hingga 24 Okt ini membabitkan 68 atlet yang akan beraksi dalam 94 acara daripada 10 sukan.
Atlet para olahraga negara, Muhammad Nazmi Nasri, yang bertanding dalam acara lompat jauh T37, diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian temasya hari ini di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium.
-- BERNAMA