NILAI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneliti semula permohonan rayuan berkaitan geran padanan sukan yang diberikan kepada Persatuan Kebangsaan Basikal Malaysia (PKBM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya telah menerima rayuan daripada persatuan berkenaan untuk menyemak semula jumlah geran yang diluluskan sebelum ini.
Advertisement
Menurut beliau, perkara itu akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Saya telah menerima rayuan daripada pihak persatuan untuk saya review semula jumlah geran padanan sukan ini dan saya akan cuba meneliti dan melihat, dan sebarang keputusan akan diumumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi Lawatan ke Velodrom Nilai, di sini, pada Jumaat.
Beliau menambah, penilaian semula itu akan mengambil kira skala penganjuran kejohanan termasuk sama ada ia bertaraf antarabangsa atau domestik.
“Jika kejohanan itu bersifat antarabangsa seperti World Cup, ia perlu bersesuaian dengan penyaluran geran. Jika ia bersifat nasional atau lebih kecil, jumlahnya juga perlu disesuaikan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Taufiq menegaskan, KBS sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan rayuan daripada persatuan sukan bagi memastikan setiap kejohanan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kementerian terhadap penganjuran Kejohanan Piala Dunia Trek yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 April ini.
“Kita akan sentiasa memberikan sokongan dan memastikan acara sukan dapat berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.
Keputusan mengenai semakan semula geran padanan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas proses penilaian selesai.