KUALA LUMPUR: Edisi ke-11 Turkish Airlines World Golf Cup, kejohanan golf korporat terbesar dunia, kembali ke Kuala Lumpur dengan pusingan tempatan berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club pada 3 Oktober lalu.
Kejohanan anjuran syarikat penerbangan Turkish Airlines itu menghimpunkan tokoh korporat dan anggota komuniti perniagaan tempatan bagi merebut peluang mewakili Kuala Lumpur ke peringkat akhir dunia yang akan diadakan di Turkiye hujung tahun ini.
Sejak diperkenalkan pada 2013, kejohanan itu berkembang menjadi antara siri golf korporat terbesar di dunia dengan lebih 10,000 pemain bersaing dalam lebih 130 kejohanan merentasi 84 negara.
Pusingan Kuala Lumpur merupakan kejohanan ke-87 daripada keseluruhan 139 kejohanan yang dijadualkan bagi edisi tahun ini.
Dalam saingan itu, Vee Siow muncul juara selepas mengumpul 42 mata, sekali gus melayakkan diri ke peringkat akhir dunia. Tempat kedua dimenangi Tan See Lee, manakala Edmund Chen menduduki tempat ketiga.
Bagi pertandingan Closest to the Pin, kategori lelaki dimenangi Kamarul Azhar Mohd Kasim manakala kategori wanita menjadi milik Hayley Ng.
Anugerah Gross pula dimenangi Junie Khaw dengan catatan 70 pukulan.
Pengurus Besar Turkish Airlines di Kuala Lumpur, Mustafa Kemal Kizilay, berkata kejohanan itu sekali lagi berjaya menghimpunkan komuniti perniagaan dan peminat golf dalam suasana persaingan yang sihat.
"Kami berterima kasih kepada semua tetamu yang menjayakan Turkish Airlines World Golf Cup di Kuala Lumpur. Tahniah kepada juara, Vee Siow, dan kami mendoakan kejayaan beliau di Turkiye," katanya dalam satu kenyataan.
Para finalis kejohanan akan diterbangkan ke Turkiye dengan kelas perniagaan Turkish Airlines untuk bersaing di Gloria Golf Club serta menginap di Gloria Serenity Resort di pesisir golf Turkiye.
Kejohanan Turkish Airlines World Golf Cup 2026 mendapat sokongan Gloria Hotels & Resorts.