JOHOR BAHRU: Sebanyak 110 buah bas bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil membawa penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menyaksikan aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Kuching City FC, malam ini.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak JDT (KBJDT), Mohd Fadzli Sapie berkata, para penyokong menunjukkan semangat tinggi tanpa mengira peringkat usia bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka, termasuk sanggup ke ibu negara semata-mata untuk berada di stadium.
“Setiap tahun meriah suasananya apabila JDT beraksi di final, kami penyokong akan bersama-sama menaiki bas ke ibu negara. Sambutan penyokong sentiasa luar biasa dan kali ini kami jangka lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan akan hadir ke Stadium National Bukit Jalil.
“Bukan sahaja dari Johor, malah ramai juga penyokong dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain akan turun memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, persiapan awal telah dibuat sebaik sahaja JDT disahkan layak ke final termasuk urusan pelarasan bas dan keselamatan bagi memastikan perjalanan penyokong berjalan lancar.
Sementara itu, seorang penyokong, Zalikha Ibrahim, 47, berkata, dia bersama suami dan dua anak teruja untuk menyaksikan final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil buat kali pertama.
"Ini kali pertama kami tengok final Piala Malaysia secara langsung di Bukit Jalil. Anak-anak pun tidak sabar nak rasai suasana di stadium besar.
“Saya yakin JDT boleh menang 3-1 sebab pasukan sekarang berada pada prestasi terbaik,” katanya.
Bagi seorang lagi penyokong setia, Ahmad Khamal Yusof, 50, yang sudah lebih lima kali hadir menyaksikan aksi final membabitkan Harimau Selatan di Stadium Nasional Bukit Jalil tetap teruja memberikan sokongan kali ini.
“Kalau JDT masuk final, memang saya akan hadir. Kami harap JDT dapat sekali lagi menjulang Piala Malaysia," ujarnya. - Sinar Harian