KUALA LUMPUR: Menjelang kembalinya acara perlumbaan sukan permotoran berprestij Formula 1 Gulf Air Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Okt ini, data Airbnb menunjukkan peningkatan ketara dalam minat pelancong terhadap penginapan di ibu kota, Sepang dan kawasan sekitarnya.
Ketua Negara Airbnb bagi India dan Asia Tenggara Amanpreet Bajaj berkata peningkatan itu menyerlahkan bagaimana acara sukan berskala besar terus menjadi pemacu utama kepada sektor pelancongan serta aktiviti ekonomi.
“Hari ini, pelancongan semakin dipengaruhi pengalaman. Orang ramai merancang perjalanan mereka bersempena dengan konsert, festival, acara sukan dan pelbagai acara lain yang menyatukan komuniti dan pengalaman seperti ini mampu membuka peluang baharu kepada sesuatu destinasi untuk mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
“Daripada suasana bandar yang meriah di Kuala Lumpur hinggalah kepada pelbagai tarikan tempatan, Airbnb memberikan fleksibiliti kepada pelancong untuk merancang penginapan mengikut pengalaman yang ingin mereka nikmati sama ada untuk percutian hujung minggu atau meneroka destinasi dengan lebih mendalam di luar acara tersebut,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh platform itu, pengembara antarabangsa dari Singapura, China, Indonesia, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang menyumbang kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan minat carian.
Kuala Lumpur mencatatkan lebih 60 peratus daripada jumlah carian diikuti Sepang dengan hampir 25 peratus serta Petaling dan Hulu Langat.
Menurut kenyataan itu, meskipun pelancong memilih untuk menginap lebih dekat dengan lokasi acara dan lapangan terbang di Sepang serta kawasan sekitarnya, Kuala Lumpur terus menjadi pilihan utama sebagai lokasi penginapan mereka.
Data itu turut menunjukkan bahawa kira-kira 80 peratus carian adalah untuk tempoh penginapan yang merangkumi hujung minggu perlumbaan, dengan median tempoh penginapan yang dirancang mencecah hampir enam malam.
Perjalanan untuk dua orang mencatatkan jumlah carian tertinggi, dengan lebih satu pertiga daripada keseluruhan carian manakala tempahan untuk dua tetamu atau lebih merangkumi hampir tujuh daripada setiap 10 carian.
-- BERNAMA