Skip to main content

Malaysia

Muhammad Aznil sasar angkatan 310 kg, buru pingat emas hatrik Sukan Komanwel

BIRMINGHAM, 30 Julai -- Aksi atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin dalam acara angkat berat kategori 61kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Dewan NEC 1 hari ini. Muhamad Aznil Bidin menyumbang pingat emas kedua negara selepas memungut mata keseluruhan 285kg.  --fotoBERNAMA
Muhammad Aznil berkata beliau akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Asia di India bulan depan sebagai pemanas badan sebelum ke Sukan Komanwel. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat negara Muhammad Aznil Bidin menyasarkan angkatan keseluruhan seberat 310 kilogram (kg) bagi memburu pingat emas hatrik pada temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Atlet berusia 31 tahun yang bakal beraksi dalam kategori bawah 65kg itu berkata segala persiapan untuk mencapai sasaran itu kini berada di landasan tepat.

Advertisement

Beliau berkata fokus utama kini diberikan kepada peningkatan kekuatan dan konsistensi prestasi menjelang temasya berkenaan.

“Ketika ini memang fokus untuk naikkan angkatan sebab sekarang catatan peribadi terbaik saya adalah 306kg.

“Kalau boleh saya cuba untuk angkat 310kg kerana saya rasa angkatan itu cukup untuk saya dapat pingat emas pada Sukan Komanwel,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Untuk rekod, Muhammad Aznil memenangi pingat emas dalam kategori 62kg pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan mengulangi pencapaian sama dalam kategori berbeza, iaitu 61kg pada edisi di Birmingham, England empat tahun lepas.

Muhammad Aznil ketika mengulas mengenai persiapan ke Sukan Komanwel 2026 berkata beliau akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Asia di India bulan depan sebagai pemanas badan sebelum ke Sukan Komanwel.

“Saya harap dapat buat angkatan 310kg pada Kejohanan Asia dan saya juga mahu jadikan kejohanan itu untuk mencari rentak bagi menghilangkan rasa gemuruh sebelum Sukan Komanwel,” katanya.

Pencapaian terbaik Muhammad Aznil tahun lepas adalah pada Sukan SEA di Thailand apabila meraih pingat perak selepas mencatat angkatan keseluruhan 306kg, iaitu 133kg dalam disiplin snatch dan 173kg bagi clean and jerk.

-- BERNAMA

Must Watch Video